Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam percakapan pengendali akaun media sosial MyNewsHub di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya, Selangor, semalam.
MCMC dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan rakaman percakapan itu dibuat jam 8:40 malam susulan tindakan suspek memuat naik dan memainkan semula klip video lama dengan teks menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna media sosial.
"Selepas selesai siasatan, kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut.
"Pegawai penyiasat menyita kad sim dan sebuah telefon bimbit milik suspek yang digunakan untuk memuat naik video itu bagi membantu siasatan," katanya.
Menurutnya, MCMC memandang serius penularan video berdurasi satu minit 10 saat dengan tajuk 'Tanya pasal kuarters jer dh kene mcm tu depan KSN!!'.
"Muat naik kandungan yang mempunyai niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu pihak lain seumpama ini adalah melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
"Berdasarkan kenyataan media Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), video itu adalah simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan sekiranya berdepan dengan situasi serangan provokatif," katanya.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
"Orang ramai diingatkan supaya tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu," katanya.
Semalam, Harian Metro melaporkan MCMC sudah menghubungi pengendali akaun media sosial sebuah portal tempatan untuk dirakam percakapan susulan penyebaran video berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan video tular melibatkan sekumpulan audiens dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali adalah video lama membabitkan simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan sekiranya berdepan situasi serangan provokatif.
JPA dalam kenyataan, semalam, menjelaskan video berkenaan dikongsikan dengan niat memainkan sentimen negatif terhadap kerajaan.
Sebelum ini, sebuah portal tempatan memuat naik video berdurasi lebih seminit yang juga simulasi seorang pegawai awam bertanyakan mengenai status permohonan kuarters kerajaan kepada Mohd Zuki dan kemudiannya ditunjukkan seolah-olah individu terbabit dihalang oleh polis bantuan bertugas. -HMetro