Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Hafizul Harawi lempar mercun sebelum lepas tembakan di KLIA 1 -Polis


SEPANG: Lelaki yang cuba menembak isterinya dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, awal pagi tadi dianggap individu bersenjata yang berbahaya.

Polis mendedahkan suspek yang kini sedang diburu itu sebagai Hafizul Harawi berusia 38 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata kejadian berlaku sekitar jam 1.20 pagi di pintu masuk balai ketibaan KLIA ketika wanita itu sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.


Untuk rekod, suspek dan isterinya ada mengusahakan syarikat agensi pelancongan dan umrah yang beroperasi di sini.

Menurut Mohd Shuhaily, siasatan mendapati suspek pada awal melempar satu mercun sehingga mencederakan dua orang awam sebelum menghampiri isteriya yang berada di pintu masuk balai ketibaan di situ.

"Suspek bertindak nekad menghampiri mangsa iaitu isterinya dan melepaskan tembakan dalam jarak dekat ke arah mangsa (isteri), antara tiga hingga empat meter.

"Satu das tembakan tersasar dan satu das mengenai pengawal peribadi. Wanita itu yang menjadi sasaran sebenar terselamat daripada tembakan itu.

"Suspek kemudian melarikan diri ke aras dua Blok C, yang mana suspek datang dan meletakkan kereta di situ.

"Hasil siasatan awal, sememangnya jelas kita dapat kenal pasti suspek dan dia mempunyai senjata. Buat masa ini kita telah melancarkan operasi mengesan suspek," katanya dalam sidang media di Balai Ketibaan KLIA, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Baharudin Mat Taib dan Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman.

Mohd Shuhaily, berkata pasukan polis daripada semua kontinjen polis berhampiran dan bersempadan dengan Selangor sudah digerakkan dalam usaha memburu suspek.

"Buat masa ini, kita dapat kenal pasti motif lebih kepada perihal peribadi antara suspek dan mangsa. Selepas kita dapat tangkap suspek kelak, kita akan dapat motif sebenar kejadian tembakan ini," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaili menyarankan suspek untuk menyerah diri secara aman di mana-mana balai polis berhampiran dan tidak lagi mengeruhkan lagi keadaan.

"Serahlah diri secara aman. Apa yang berlaku (tembakan) pagi tadi telah pun berlaku, apa yang akan berlaku selepas ini tidak akan dapat membetulkan insiden pertama tadi.

"Dalam konteks ini, polis mengenal pasti suspek sebagai bersenjata dan juga berbahaya. Kita minta orang awam yang ada terlihat suspek untuk berkongsi maklumat dengan polis namun jangan bertindak sendiri," katanya.

Mohd Shuhaily berkata siasatan mendapati suspek tidak mempunyai permit senjata api dan percaya memperoleh senjata itu secara haram dan pihak polis buat masa ini belum dapat mengenal pasti jenis pistol yang digunakan.

Katanya siasatan polis dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.