Bakal Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, sedang mempelajari bahasa Melayu dengan serius dengan harapan dapat bertutur dengan lancar untuk terus mendekati masyarakat Melayu/Islam.
Menyatakan demikian semasa bercakap kepada media tempatan dalam satu wawancara di Pusat Akhbar Nasional (NPC) pada 10 Mei, Encik Wong berkata beliau sebenarnya menghadiri kelas bicara bahasa Melayu sebelum menjadi kakitangan awam.
Namun, beliau mula mendalaminya secara lebih serius sejak dilantik sebagai timbalan perdana menteri hampir dua tahun lalu.
“Saya sedang mempelajari bahasa Melayu dan sedang berusaha sebaik mungkin setiap minggu.
“Ia bukan sesuatu yang baru, tapi saya telah mempelajarinya sekali sekala.
“Sebenarnya, sebelum saya menjadi kakitangan awam, saya mempelajarinya sedikit secara bicara.
“Dan selepas menyertai politik, saya meneruskannya tetapi sejak dilantik sebagai timbalan perdana menteri – hampir dua tahun lalu – saya mempelajarinya secara lebih serius.
“Sebabnya ialah saya juga ingin mendekati (masyarakat Melayu) dengan lebih baik dalam bahasa Melayu, berbual dalam bahasa Melayu. Justeru, ia satu proses berterusan,” katanya.
Encik Wong berkata beliau dapat menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu, namun belum dapat bertutur dengan lebih lancar.
“Saya fikir untuk menyampaikan ucapan, saya tiada masalah melakukannya.
“Tetapi untuk menyampaikannya dengan lancar dalam bahasa Melayu, saya fikir itu lebih sukar.
“Meskipun begitu, saya tidak akan berputus asa... saya akan terus bekerja keras untuk melakukannya dan memperbaikinya,” kata beliau.
Encik Wong juga ditanya mengenai keupayaan beliau berbicara dalam bahasa Mandarin dalam wawancara itu, kerana penguasaan bahasa Mandarin beliau dikatakan pernah dipuji masyarakat akar umbi.
Memberi respons, Encik Wong berkata beliau tidak mempunyai kesukaran semasa berbicara dengan penduduknya dalam bahasa Mandarin.
Beliau mempelajari bahasa Mandarin di sekolah dan, walaupun tidak mendewasa dalam sekitaran keluarga yang banyak bertutur dalam bahasa Mandarin, beliau mempunyai keupayaan asas dalam bahasa itu.
Namun, Encik Wong mula belajar bahasa Mandarin sejak sekitar dua tahun lalu untuk memperhalusi penggunaannya.
“Mula menggunakan bahasa itu melebihi berbicara dalam bahasa Mandarin untuk pekerjaan, dan untuk interviu. Itulah peringkat lebih tinggi atau fasa saya selanjutnya dalam perjalanan saya mendalami bahasa Mandarin, dan saya harap dapat terus memperbaikinya,” ujar Encik Wong.