Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Parti Liar Aloha: Kerajaan Terengganu benarkan resort beroperasi seperti biasa, cuma denda RM25,000 sahaja


KUALA TERENGGANU - Pemilik sebuah resort persendirian yang beroperasi di Pulau Lang Tengah dikompaun RM25,000 sahaja  kerana menganjurkan aktiviti tanpa mendapat kelulusan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kompaun itu dikenakan selepas pihaknya mengadakan pertemuan bersama pemilik resort tersebut di Wisma Darul Iman, di sini pada pagi Khamis.


Menurutnya, siasatan mendapati pemilik premis tersebut telah melakukan kesalahan bawah Sub Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan & Tempat-tempat Hiburan 2002.

"Kita dapati penganjuran parti di resort itu dilakukan hampir saban tahun dan kini telah masuk tahun ke-10.

"Kegiatan itu dihentikan ketika Covid-19 sebelum ini dan kini dirancakkan kembali.

"Apa yang kita kesal ialah mereka tidak memaklumkan kepada pemegang taruh seperti pihak berkuasa, PBT dan pihak pelancongan sendiri malah penganjuran aktiviti itu tidak mendapat sebarang kelulusan atau permit," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Razali berkata, pihaknya juga mengarahkan supaya penganjuran aktiviti seperti pesta liar 'Aloha' yang diadakan di situ dihentikan serta-merta.

"Resort ini memiliki lesen dan boleh beroperasi seperti biasa, cuma kita akan arahkan pihak PBT dan pihak-pihak lain untuk memantau dan menyiasat sekiranya terdapat pelanggaran peraturan yang ditetapkan.

"Kita juga tidak lagi membenarkan mereka meneruskan acara seperti parti yang diadakan baru-baru ini," katanya.

Razali memberitahu, resort terbabit agak terpencil menyebabkan kegiatan dijalankan di situ tidak diketahui ramai.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, PBT akan memantau semua resort yang beroperasi di negeri ini bagi memastikan tiada kegiatan yang melanggar peraturan ditetapkan.

"Kita akan pantau semua resort-resort yang ada dan kita akan mempertimbangkan untuk kaji semula enakmen yang ada sekiranya kompaun dikenakan tidak memberikan kegerunan kepada mereka.

"Kita juga akan meningkatkan jumlah kompaun supaya dapat memberi pengajaran agar mereka mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan negeri Terengganu," ujarnya.

Pada Selasa, tular poster dan gambar memaparkan wanita berpakaian seksi menghadiri sebuah parti liar yang didakwa diadakan di pulau tersebut.

Gambar tersebut mendapat perhatian ramai malah rata-rata daripada mereka mengatakan parti tersebut tidak sesuai diadakan di negeri ini.