Penyanyi Israel teruk kena boo dalam pertandingan Eurovision di Sweden (video)
PENYANYI dari Israel, Eden Golan, menerima reaksi bercampur sewaktu menjalani sesi latihan peringkat separuh akhir dalam pertandingan nyanyian Eurovision.
Penganjuran acara tahunan itu kali ini menjadi subjek perdebatan selepas ramai peminat menyeru agar ia diboikot gara-gara masih membenarkan penyertaan Israel, lapor Huffingtonpost.
Menjelang persembahannya dalam separuh akhir pada malam Khamis, Eden melakukan raptai penuh pada petang Rabu, di hadapan penonton studio secara langsung.
Rakaman daripada persembahan tersebut menunjukkan Eden menerima ejekan di atas pentas, selain kedengaran laungan "Free Palestine (Bebaskan Palestin)" daripada penonton.
Februari lalu, penganjur Eurovision dilaporkan tidak berpuas hati dengan lagu yang diserahkan Israel kerana liriknya yang dikatakan bersifat "politik".
Penyiar kebangsaan negara Israel menegaskan mereka lebih sanggup menarik diri daripada pertandingan itu daripada menukar lagu, yang pada asalnya berjudul October Rain.
Bagaimanapun, delegasi Israel kemudiannya menukar pendirian dan mengesahkan Eden akan mewakili mereka pada pertandingan itu, dengan lagunya sendiri yang ditulis semua, bertajuk Hurricane.
Separuh akhir pertama Eurovision tahun ini bermula dengan sedikit kontroversi, selepas penghibur jemputan Eric Saade, yang berketurunan Palestin, ditegur oleh penganjur kerana memakai keffiyeh tradisi di pergelangan tangannya sebagai sebahagian kostum persembahan.
"Semua penghibur dimaklumkan tentang peraturan pertandingan, dan kami kesal kerana Eric Saade memilih untuk mengganggu pertandingan dengan elemen bersifat politik," kata jurucakap Kesatuan Penyiaran Eropah (EBU).
video: