Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Polis dedah lakaran suspek simbah asid Faisal Halim


KUALA LUMPUR: Bukit Aman hari ini mendedahkan wajah suspek kes serangan membabitkan simbahan asid terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim, mengikut lakaran fotofit yang berjaya dihasilkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata suspek dikenal pasti memakai topi celoreng tentera dan pelitup muka bercorak ketika kejadian pada 5 Mei lalu.


"Suspek dianggarkan berusia 30 tahun, berketinggian 165 sentimeter (sm) dengan saiz susuk badan sederhana dan berkulit sawo matang.

"Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu berwajah seperti lakaran fotofit terbabit, diminta tampil membantu siasatan polis," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Razarudin berkata, maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Inspektor M Jagachandran a/l Murugesen melalui talian 012-684 8166 atau 03-2266 6071 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

"Kita berharap ada saksi tampil dapat membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengesan suspek, dan seterusnya membuat siasatan lanjut berkaitan kes simbah asid membabitkan Faisal," katanya.

Pada 11 Mei lalu, BH melaporkan PDRM sudah memulakan proses menghasilkan lakaran fotofit suspek kes simbah asid membabitkan Faisal.

Razarudin dipetik berkata, proses itu dilakukan dengan bantuan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

Pada 5 Mei lalu, Faisal dilaporkan cedera selepas disimbah asid dipercayai dilakukan oleh dua individu bermotosikal di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya kira-kira jam 5 petang.

Susulan itu, tonggak utama Selangor FC berkenaan disahkan mengalami kecederaan melecur tahap empat di beberapa bahagian tubuhnya dan menerima rawatan di hospital.