Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Saksi SPRM gagal kemuka bukti Najib arah hentikan siasatan 1MDB


Kuala Lumpur: Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin menafikan bahawa keterangan yang diberikannya pada perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ibarat 'sembang di kedai kopi'.

Nur Aida yang juga Penguasa Kanan SPRM menafikan perkara itu ketika peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mencadangkan SPRM tiada bukti langsung bagi menunjukkan Datuk Seri Najib Razak mengarahkan supaya tiada tindakan lanjut dalam siasatan skandal kewangan 1MDB.


Saksi pendakwaan ke-49 itu bagaimanapun menegaskan walaupun tiada bukti sedemikian, namun siasatan menyeluruh menunjukkan perkara itu memang berlaku.

Nur Aida menjelaskan, nota percakapan daripada ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan Jho Low yang dirampas SPRM daripada bekas Pegawai Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, adalah mencukupi untuk membuktikan kesnya.

Katanya, semua perkara dalam nota percakapan itu antaranya pertukaran ketua pesuruhjaya SPRM dan agensi itu terpaksa menutup siasatan, benar-benar berlaku.

Malah, saksi itu berkata, ketika nota terbabit ditunjukkan kepada Amhari ketika disoal siasat, pegawai Najib itu menyatakan dokumen berkenaan disediakan oleh Jho Low seperti arahan Najib.

Pada peringkat itu, peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menyoal balas Nur Aida sekali lagi mencadangkan bahawa saksi tiada bukti langsung yang menyatakan itu sememangnya arahan daripada Najib.

Muhammad Shafee: Anda seorang pegawai penyiasat. Anda bercakap seperti berada di kedai kopi.

Nur Aida: Ini bukan kedai kopi Tan Sri, arahan secara langsung memang tidak ada tetapi berdasarkan siasatan secara menyeluruh, perkara itu memang berlaku.

Muhammad Shafee: Ada apa-apa bukti yang membuktikan ini arahan Najib?

Nur Aida: Walaupun Jho Low yang buat (arahan), tapi akhirnya perkara itu berlaku.

Muhammad Shafee: Tapi ada apa-apa yang menyatakan arahan itu datang dari Najib?

Nur Aida: Saya tiada bukti langsung sedemikian.

Muhammad Shafee: Jadi ini semua andaian anda sahaja?

Nur Aida: Saya tidak buat andaian, sebab apa yang dikatakan dalam nota itu semuanya berlaku. Amhari juga adalah pegawai Najib.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bagaimanapun meredakan keadaan dan memutuskan bahawa ia adalah pendirian saksi dan kemudian mengarahkan peguam bela memasukkan perkara itu dalam hujahannya.

Terdahulu, Muhammad Shafee mencadangkan kepada Nur Aida bahawa tiada apa-apa tindakan dilakukan Najib dalam menghalang siasatan polis dan SPRM terhadap kes 1MDB.

Bagaimanapun, Nur Aida menyatakan sebaliknya dengan mengambil contoh beberapa tindakan Najib, antaranyamenukar Ketua Pesuruhjaya SPRM, membuat tangkapan ke atas pegawai agensi itu dan tindakanbekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Mohamad Apandi Ali menutup kes walaupun SPRM mengesyorkan tindakan lanjut.

Pada 1 Ogos 2016, Tan Sri Dzulkifli Ahmad menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Nur Aida memberikan keterangan terhadap Najib, 70, yang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada sesi petang.