Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Serangan balai polis: Suspek ahli Jemaah Islamiyah, 5 ahli keluarga ditahan (video)


JOHOR BAHRU: Suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, di sini didapati sudah membuat persediaan awal untuk serangan berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, semakan polis mendapati lelaki berusia 21 tahun itu tiada rekod jenayah.


Polis juga katanya turut menahan dua pengadu dalam kes terbabit bagi membantu siasatan.

Terdahulu, pada sidang media di lokasi kejadian beliau memaklumkan suspek dipercayai ahli Jemaah Islamiyah (JI) dan menurutnya terdapat lebih 20 ahli JI dikenal pasti berada di Johor.

Sementara itu, mengenai anggota polis yang cedera ditembak, beliau berkata, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Terdahulu, Razarudin memaklumkan, polis menyerbu rumah keluarga lelaki berkenaan di Ulu Tiram dan pemeriksaan mendapati ada beberapa maklumat berkait kumpulan JI di kediaman berkenaan.

Susulan itu kesemua lima ahli keluarga suspek berusia antara 15 tahun hingga 62 tahun, yang dipercayai anggota serpihan JI ditahan untuk siasatan lanjut.

Dalam serangan jam 2.54 pagi itu, dua anggota polis dilaporkan terbunuh, manakala seorang lagi cedera, manakala suspek yang bertopeng, berpakaian gelap dan bersenjatakan parang ketika menceroboh masuk balai polis berkenaan, ditembak mati di lokasi.

Dua anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala anggota yang mengalami kecederaan dirawat di hospital sama.

Difahamkan, suspek terlebih dahulu menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata.

Dia kemudian melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut dan seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher dan kepala.


video: