Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Akaun instagram ibu Zayn Rayyan "lenyap"


SHAH ALAM - Berita mengenai penahanan ibu bapa kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin yang meninggal dunia dipercayai dibunuh di Damansara Damai tahun lalu mengemparkan negara pada Sabtu.

Susulan daripada itu, akaun media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok milik ibu kepada Zayn iaitu Ismanira Abdul Manaf, 29 menjadi tumpuan netizen bagi melihat hantaran terkini.


Bagaimanapun hasil tinjauan dari portal Sinar Harian mendapati, akaun Instagram sudah tiada tetapi TikTok dan Facebook masih wujud.

Menjengah ke laman Instagramnya, akaun milik Ismanira juga sudah dinyahaktif manakala di TikTok akaun dia telah diletakkan mod privasi.

Menerusi Facebook miliknya mendapati kali terakhir dia memuat naik hantaran pada 15 Februari lalu.

Ismanira sebelum ini dilihat aktif berkongsi mengenai anak-anaknya di TikTok dan Instagram termasuklah rantaian hantaran sedih mengenai kematian Zayn Rayyan.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, pasangan berusia 28 tahun terbabit dipercayai ditahan di kediaman keluarganya di Puncak Alam, Selangor kira-kira jam 11 pagi Jumaat.

Pasangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, buat masa ini, pihaknya memerlukan keterangan ibu bapa mangsa sebelum pihaknya mengambil tindakan lanjut.

"Perkara itu bergantung kepada hasil soal siasat nanti," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Pada Sabtu, media melaporkan ibu bapa kanak-kanak autisme itu direman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga Jumaat bagi membantu siasatan.

Sebelum itu, Hussein mengesahkan siasatan ke atas pasangan suami isteri itu dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu membunuh.

Beliau berkata, penangkapan pasangan suami isteri itu adalah berdasarkan hasil maklumat risikan dan siasatan dari hari pertama kejadian.

Difahamkan, kedua-dua orang yang disyaki (OYDS) masing-masing berumur 28 tahun itu ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya selama tempoh reman berjalan.