Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

BLACKROCK labur hampir dalam 100 syarikat di Malaysia termasuk CIMB, TNB dan Petronas


MASIH ramai yang tidak mengetahui mengenai BlackRock, sebuah firma asing yang dikaitkan dengan Israel dalam penstrukturan semula kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Kelmarin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan BlackRock beroperasi di Kelantan, Selangor, Sarawak, seluruh negara serta pasaran saham.


Data menunjukkan BlackRock mempunyai kepentingan dalam saham Bursa Malaysia bernilai RM24.7 bilion serta RM7.9 bilion dalam bon kerajaan dan korporat di Malaysia.

Menurut data yang boleh diperoleh secara terbuka setakat Mei 2024, BlackRock sebagai sebuah firma pelaburan global sudah memiliki pelaburan ekuiti di dalam 100 syarikat tersenarai di Malaysia merangkumi sektor industri, dengan tiga entiti terbesar merupakan institusi perbankan di negara ini.

Firma berpangkalan di Amerika Syarikat itu aktif melabur di Malaysia dengan jumlah nilai pasaran (MV) terkini ialah AS$4.3 bilion atau kira-kira RM24.7 bilion iaitu pelaburan ekuiti syarikat tersenarai sebanyak RM18.7 bilion dan bon sebanyak RM7.9 bilion.

Berdasarkan senarai pelaburan BlackRock di Malaysia, sektor perbankan merupakan tiga entiti tertinggi dilaburnya iaitu Public Bank sebanyak RM2.34 bilion (2.75 peratus), diikuti Maybank RM2.16 bilion (1.88 peratus) dan CIMB RM1.42 bilion (2.07 peratus).

Tenaga Nasional Berhad di tangga keempat dengan pelaburan sebanyak RM8.6 juta (1.32 peratus), disusuli Metal Aluminium RM625 juta (1.62 peratus) dan CelcomDigi RM526 juta (1.03 peratus). Rujuk jadual di bawah.

Dari segi bon pula, BlackRock memiliki pelaburan tertinggi di dalam bon kerajaan Malaysia sebanyak RM2.53 bilion, Petronas Capital RM2.52 bilion dan terbitan-terbitan bon RM1.57 bilion.

Berdasarkan data di atas, adalah jelas BlackRock bukan pelabur baharu tetapi sememangnya sudah sedia aktif, malah memiliki pejabat operasinya di Malaysia.

Melabur pada hampir semua syarikat bursa menjadikan firma itu pemegang saham nombor dua paling besar di Bursa Malaysia.

BlackRock juga adalah syarikat pelaburan antarabangsa terbesar di dunia yang menguruskan aset global bernilai kira-kira AS$10 trilion.


Ditubuhkan pada 1988, BlackRock telah mencapai kejayaan yang dramatik ke puncak dunia pelaburan, memainkan peranan pelaburan utama dalam kebanyakan ekonomi negara termasuk Malaysia.

BlackRock dan dua lagi firma pelaburan seumpamanya iaitu Vanguard dan State Street dianggap sebagai pengurus aset The Big Three di seluruh dunia.

Pengurus aset ini adalah antara pemilik terbesar syarikat dagangan awam.

The Big Three ini memiliki Aset Dibawah Pengurusan (AUM) bersamaan dengan lebih 75 peratus daripada KDNK Amerika Syarikat pada 2023 atau kira-kira 55 kali ganda KDNK Malaysia pada 2023!

Firma ini juga aktif melabur di negara Islam lain seperti Arab Saudi dengan nilai dana AS$24 bilion, Emiriah Arab Bersatu AS$8.6 bilion dan Indonesia AS$11 bilion.

Selain itu, BlackRock aktif di China dengan pelaburan bernilai AS$199 bilion dan India AS$148 bilion. Firma tersebut turut memainkan peranan utama dalam pelaburan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) dan telah menjadi sangat aktif dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan alam sekitar yang mampan.

Persoalan seterusnya ialah berdasarkan data di atas juga, mengapakah penyertaan syarikat sekutu BlackRock, GIP dalam cadangan penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berbeza dengan pelaburan-pelaburan sedia ada firma ini di Malaysia?

Berdasarkan data pemegang saham MAHB, BlackRock sememangnya sudah memiliki 2.10 peratus ekuiti bernilai RM35 juta di dalam syarikat pengendali lapangan terbang ini.

Ada pihak mahu urus niaga GIP di dalam MAHB dibatalkan, apakah seruan itu harus diperbaharui dengan meliputi keseluruhan pelaburan BlackRock di Malaysia?

Faktanya, BlackRock melabur dalam hampir 100 syarikat Malaysia – sebab itu pun fungsinya sebagai firma pelaburan - dan kehadirannya sebagai pelabur global, membantu menyemarakkan minat pelabur am di Bursa Malaysia.

Jika tarik keluar semua dana BlackRock, anda boleh bayangkan apa bentuk kekacauan akan berlaku kepada sistem kewangan Malaysia.

Dalam senario sesebuah firma pelaburan global menarik keluar dana dari sesebuah negara, ia boleh mencetuskan kemeruapan (volatility) dalam pasaran kewangan negara, membawa kepada penurunan mendadak dalam harga saham, nilai bon dan kadar pertukaran mata wang.


Ini boleh mengganggu keyakinan pelabur dan memburukkan lagi ketidakstabilan ekonomi.

Ia juga boleh mengakibatkan penurunan penarafan kredit kerana penarikan dana global boleh memberi isyarat kepada agensi penarafan kredit dan pelabur bahawa prospek ekonomi negara yang terjejas telah merosot.

No Pegangan Ekuiti BlackRock Kepentingan Nilai Ringgit

1 Public Bank 2.75% 2.349 bilion

2 Maybank 1.88% 2.162 bilion

3 CIMB 2.07% 1.426 bilion

4 TNB 1.32% 860 juta

5 Press Metal Aluminium Holdings 1.62% 625 juta

6 CelcomDigi 1.03% 526 juta

7 Ihh 0.96% 520 juta

8 Petronas Chemicals 0.91% 510 juta

9 Hong Leong Bank 1.09% 466 juta

10 Nestle Malaysia 1.55% 454 juta

11 Petronas Gas 1.14% 405 juta

12 PPB Group 1.78% 395 juta

13 Maxis 1.25% 364 juta

14 AMMB Holdings 2.41% 346 juta

15 Sime Darby 1.67% 308 juta

16 MISC 0.88% 299 juta

17 Axiata Group 1.15% 293 juta

18 IOI Group 1.16% 293 juta

19 MAHB 2.02% 286 juta

20 KLK 1.12% 275 juta

21 RHB Bank 1.13% 271 juta

22 Genting 1.45% 266 juta

23 Gamuda 1.85% 271 juta

24 Sime Darby Plantation 0.85% 255 juta

25 Petronas Dagangan 1.06% 241 juta

26 Genting Malaysia 1.41% 229 juta

27 Inari Amerton 1.87% 223 juta

28 Telekom 0.93% 216 juta

29 Dialog Group 1.72% 204 juta

30 QL Resources 1.33% 188 juta

Nilai Pasaran 30 pelaburan terbesar BlackRock di Malaysia RM15.5 bilion

Nilai Pasaran pegangan ekuiti BlackRock di Bursa Malaysia RM18.7 bilion

* Sumber: Bloomberg

Pegangan Bon Kerajaan oleh BlackRock Nilai Kedudukan BlackRock

1 TNB Global Ventures Capital Bhd 61

2 RHB Bank Bhd 20

3 Petronas Capital Bhd 2,527

4 Petroliam Nasional Bhd 42

5 Malaysia Wakala Sukuk Bhd 82

6 Malaysia Sukuk Global Bhd 291

7 Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia 1,570

8 Bon Kerajaan Malaysia 2,532

9 MISC Capital Two Labuan Ltd 66

10 Khazanah Global Sukuk Bhd 91

11 Khazanah Capital Bhd 107

12 IOI Investment L Bhd 2

13 GENM Capital Labuan Ltd 81

14 Export Import Bank of Malaysia Bhd 87

15 Dua Capital Ltd 55

16 CIMB Bank Bhd 43

17 Axiata SPV5 Labuan Ltd 24

18 Axiata SPV2 Bhd 40

JUMLAH 7,999

* Sumber: Bloomberg

Jumlah Keseluruhan Pegangan BlackRock Kedudukan Nilai BlackRock (juta)

- Pegangan Bon RM7,999

- Pegangan Ekuiti RM18,700

JUMLAH RM24,700 juta
bersamaan RM24.7 Billion.

* Sumber: Bloomberg