BUDI MADANI diperkenalkan sebagai platform untuk menyasarkan semula subsidi hanya kepada golongan yang memerlukan.
Subsidi untuk pengangkutan barang darat tertentu akan diteruskan bagi mengawal harga barangan, sementara bantuan tunai akan diberikan kepada individu yang dipilih bagi menangani peningkatan kos sara hidup.
Ini cara mohon Bantuan RM200 sebulan BUDI MADANI
Berikut adalah Kategori penerima BUDI MADANI beserta kriteria kelayakannya:
BUDI Individu
- Pemohon merupakan warganegara Malaysia.
- Memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan JPJ selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun.
- Kenderaan dimiliki mempunyai cukai jalan yang aktif.
- Pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 dan ke bawah.
Setiap permohonan yang diterima akan disemak silang dengan data di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi mengecualikan pemilik kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun dan individu berpendapatan tinggi (T20).
BUDI Agri-Komoditi
- Pemohon berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi yang berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
- Pemohon merupakan petani atau pekebun kecil komoditi yang aktif dengan hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000.
Dalam semua kategori tersebut, penerima yang layak akan menerima BUDI MADANI sebanyak RM200 sebulan sejajar dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
Bantuan ini tidak mempunyai tarikh tutup, jadi semua yang layak dipanggil untuk memohon sama ada bantuan BUDI Individu atau BUDI Agri-Komoditi.
Cara memohon BUDI MADANI
Pemohon boleh membuat permohonan secara dalam talian di laman web https://budimadani.gov.my yang akan dibuka sepanjang tahun bermula 28 Mei 2024.
Bagi permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun, pemohon akan menerima BUDI MADANI pertama mereka menjelang pertengahan Jun, dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan.
Manakala bagi permohonan yang diluluskan selepas 3 Jun akan menerima BUDI MADANI pertama dalam tempoh dua minggu dan seterusnya secara bulanan.
BUDI MADANI akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima setiap bulan.
Penerima tanpa akaun bank boleh menuntut BUDI MADANI secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia.
Untuk memohon dan mendapatkan maklumat lanjut berhubung syarat-syarat kelayakan BUDI MADANI, orang ramai diminta melayari https://budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan BUDI MADANI di nombor 1-800-88-2747/03-88824565/03-88824566 atau melalui e-mel di alamat budimadani@treasury.gov.my.
Pertanyaan dan maklumat lanjut juga boleh diperolehi di semua pejabat LHDNM seluruh Semenanjung Malaysia.