Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Alasan peguam Guan Eng tangguh prosiding cabar saksi utama kes terowong dasar laut tak masuk akal


KUALA LUMPUR - Pasukan pembelaan kes rasuah terowong dasar laut membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada Jumaat gagal dalam permohonan mereka menangguhkan prosiding mencabar kredibiliti seorang saksi utama pendakwaan kes itu.

Ini selepas Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi membenarkan bantahan pihak pendakwaan terhadap permohonan peguam RSN Rayer yang mewakili Guan Eng untuk menangguhkan prosiding bagi mencabar kredibiliti Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli itu ke tarikh yang lain.


Terdahulu Azura memutuskan prosiding diteruskan selepas berpuas hati terdapat percanggahan keterangan oleh saksi itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan mahkamah berhubung kes penipuan ahli perniagaan G Gnanaraja membabitkan wang berjumlah RM19 juta berkaitan kes terowong dasar laut yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang membantah permohonan itu berkata sepatutnya pihak pembelaan membuat persediaan lebih awal sebelum prosiding bermula.

"Alasan yang diberikan pihak pembelaan tidak masuk akal kerana kes ini telah empat tahun berlangsung. Oleh itu, pihak kami membantah prosiding hari ini ditangguhkan,” katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Guan Eng didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Prosiding bersambung 19 Julai ini. - Bernama