Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Hospital, doktor diarah bayar RM5.1 juta akibat kerosakan otak bekas CEO Prolintas


KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat memerintahkan Pusat Pakar Tawakal Sdn Bhd dan dua doktornya membayar RM5.1 juta kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), Allahyarham Datuk Zainudin A Kadir selepas mengalami kerosakan otak akibat pembedahan.

Ganti rugi itu perlu dibayar kepada isteri Zainudin, Datin Nor Rizam Abdul Wahab selepas mangsa meninggal dunia ketika penularan Covid-19 pada 2021 lalu.


Menerusi keputusan yang dimuat naik dalam sistem kehakiman pada Rabu lalu, Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin berkata, Nor Rizam selaku plaintif berjaya membuktikan imbangan kebarangkalian bahawa pusat rawatan itu bersama dua pakarnya bertanggungjawab atas kecuaian perubatan.

Mahkamah juga memerintahkan tiga pihak terbabit selaku defendan pertama hingga ketiga, membayar RM210,000 sebagai kos kepada pentadbir harta plaintif.

“Sebahagian besar ganti rugi merupakan akibat kehilangan pendapatan kerana mangsa masih dalam tugas dan memperoleh RM65,000 sebulan, manakala RM500,000 lagi untuk kesakitan serta penderitaan.

“Mahkamah tidak menghukum doktor atau hospital tetapi memberi pampasan kepada plaintif kerana mangsa dibenarkan keluar lebih awal selepas pembedahan, selain beberapa kejadian di wad,” katanya.

Mengikut fakta kes, Zainudin dimasukkan ke hospital pada 22 Februari 2016 kemudian menjalani pembedahan hidung empat hari kemudian.

Pembedahan bermula pada jam 5.45 petang dan berakhir jam 8.05 malam, sebelum Zainudin rebah sejam 30 minit kemudian.

Mengikut protokol hospital, doktor perlu memerhati pesakit di ruang pemulihan sekurang-kurangnya sejam selepas ‘reversal anaesthesia’ atau penarikan kembali bius sebelum keluar wad.

Dalam kes ini, pemerhatian hanya dibuat selama 25 minit, namun memandangkan pesakit masih mengantuk, pakar bedah memasukkan tiub ke esofagus dan bukannya trakea yang membawa kepada kerosakan otak.