KETUA Pemegang Kunci Kaabah, Sheikh Saleh Al-Shaibi telah meninggal dunia, menurut portal haramain.com.
Menurut laporan yang dikongsi di platform media sosial X pada Sabtu, solat jenazah diadakan di Masjidil Haram dan pengebumian di Tanah Perkuburan Al Mu'alla di Mekah.
Untuk rekod, Saleh Al-Shaibi dilantik sebagai penjaga Kaabah pada 2013 selepas bapa saudaranya, Abdulqader Taha Al-Shaibi meninggal dunia.
Pada masa ini, fungsi penjaga terhad kepada pembukaan dan penutupan Kaabah.
Istana Diraja, Kementerian Dalam Negeri dan pasukan kecemasan akan menyelaras dengan penjaga jika terdapat tetamu negara.
Tugas menjaga Kaabah menjadi tanggungjawab keluarga Sheikh Saleh Al Shaiba untuk tempoh waktu yang lama.
Menurut sejarah selepas penaklukan Mekah, Ali Ibn Talib membawa kunci tersebut ke Kaabah daripada Othman Ibn Talha, penjaga Kaabah namun bukan Muslim.
Sebaik itu berlaku, Allah berfirman agar Nabi Muhammad S.A.W mengembalikan kunci itu kepada pemilik berhak.
“Allah perintahkan kamu pulangkan amanah kepada mereka yang berhak; dan apabila kamu menghakimi dua orang, hakimilah dengan seadilnya.” (Surah An-Nisa 4:58)
Nabi Muhammad kemudian mengarahkan Ali Ibn Talib memulangkan kunci itu kepada Othman Ibn Talha dan meminta maaf kerana kekhilafan itu.
Sebelum ini, lama dahulu, penjaga asalnya ialah cucu kepada Qusai Bib Kilab Bin Murrah.
Othman Ibn Talha terkejut, bagaiman penakluk Mekah itu memulangkan kunci itu kepadanya walaupun dia bukan Muslim.
Ali Ibn Talib kemudian memberitahunya, Allah mahu dia simpan kunci Kaabah itu.
Mendengar itu, Othman Ibn Talha terus memeluk Islam dan sehingga kini, Bani Shaiba terus menjadi penjaga kepada kunci Kaabah.
Justeru, mereka bertugas menjaga tempat suci itu, termasuk membuka dan menutup pintu Kaabah, menjaga dan mencuci Kishwah, kain besar yang menutup Kaabah.
Kunci itu disimpan dalam sebuah beg hijau dengan sulaman emas di atasnya tertera petikan yang tertulis: “Allah perintahkan kamu melakukan tugas kamu demi umat.”
-- BERNAMA