Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

PRK Sg Bakap: Pilih calon yang selari dengan Kerajaan Negeri -Tok Mat Hasan


NIBONG TEBAL, 22 Jun – Para pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dinasihatkan untuk memilih calon wakil rakyat yang selari dengan kerajaan negeri dan persekutuan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sokongan yang ditunjukkan oleh para jentera semasa mengiringi calon ke pusat penamaan pagi tadi memberikan petanda positif kepada kemenangan calon Kerajaan Perpaduan.


“Alhamdulillah, saya dapat bersama pada pagi ini untuk mengiringi calon Kerajaan Perpaduan, Dr. Joohari yang akan mewakili Kerajaan Perpaduan untuk PRK Sungai Bakap ini. Jadi, dari segi luarannya tadi, kita nampak sokongan, dukungan itu amat baik sekali kerana ramai yang mengiringi calon.

“Itu satu petanda baik. Untuk makluman, yang mengiringi tadi adalah merupakan jentera, bukannya penyokong. Jadi, apabila jentera banyak keluar, itu menunjukkan satu tanda yang baik dalam mana-mana pilihan rakyat umum ataupun pilihan rakyat kecil.

“Jentera inilah nanti yang akan menjayakan masa berkempen selama 14 hari, selepas sahaja pengumuman calon dibuat oleh pegawai pilihan raya,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Menteri Luar Negeri berkata, adalah mustahak untuk semua pengundi memberikan kepercayaan kepada calon Kerajaan Perpaduan bagi mentadbir DUN Sungai Bakap demi kebaikan rakyat.

“Saya yakin dengan dukungan jendera yang padu, PRK di Sungai Bakap ini akan dapat berjalan dengan lancar dan kita berdoa supaya calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari ini akan menang.

“Kenapa penduduk di Sungai Bakap ini kena pilih calon Kerajaan Perpaduan? Kerana kerajaan di negeri Pulau Pinang ini merupakan Kerajaan Perpaduan dan selari dengan kerajaan persekutuan.

“Jadi, adalah mustahak bagi semua penduduk atau pengundi di Sungai Bakap ini memberikan sokongan dan mengundi calon Kerajaan Perpaduan untuk kebaikan mereka sendiri. Jika ada sebarang masalah yang dihadapi oleh penduduk tempatan, adalah lebih mudah jika wakil rakyat mereka merupakan wakil rakyat yang sama dengan Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Jelasnya, pentadbiran akan menjadi sukar sekiranya wakil rakyat yang mewakili kawasan tersebut adalah tidak sealiran dengan kerajaan negeri mahupun persekutuan.

“Jika tidak, susah jugalah mereka untuk berunding… dan calonnya adalah Kerajaan Perpaduan. Kerajaan persekutuan juga Kerajaan Perpaduan.

“Jadi pengundi di Sungai Bakap mesti memberikan sokongan kepada Dr Joohari untuk memastikan beliau dapat mewakili suara rakyat Sungai Bakap bagi meneruskan kerja, rancangan dan hasrat yang ingin dicapai oleh penduduk di Sungai Bakap ini.

“Jika tiada masalah, kita harap nanti Dr Joohari yang mewakili Kerajaan Perpaduan insya-Allah menang dan akan dapat membawa suara rakyat terus kepada kerajaan negeri dan juga kepada persekutuan,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau telah bersama-sama beberapa para pemimpin Barisan National (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk mengiringi calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari ke pusat penamaan calon yang berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, di sini.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Datuk Lokman Noor Adam; Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa, Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub dan seluruh kepimpinan negeri dan UMNO bahagian.

Untuk rekod, bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin, 60, dari PKR diumum sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, pada 6 Julai ini.

Pengumuman dibuat Pengarah Pilihan Raya Perpaduan yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, pada majlis pengumuman calon Perpaduan di Simpang Ampat.

Terdahulu media melaporkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang diadakan pada 6 Julai depan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom berkata, penamaan calon pula ditetapkan pada 22 Jun.

Dengan itu, tempoh berkempen adalah selama 14 hari bermula penamaan calon sehingga jam 11.59 malam 5 Julai. – UMNO Online