GEORGE TOWN - Seorang wanita warga emas maut dipercayai dibunuh oleh anak bongsunya menggunakan gunting di sebuah pangsapuri di Relau, di sini.
Difahamkan, suspek yang mempunyai masalah mental itu telah menghubungi abangnya sendiri untuk memaklumkan perbuatannya itu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, kejadian berlaku pada jam 5 petang, Sabtu.
Menurutnya, polis yang menerima panggilan daripada abang suspek kemudiannya bergegas ke lokasi untuk siasatan.
"Polis berjaya menahan suspek berusia 40 tahun di lokasi kejadian. Siasatan awal mendapati, anak sulung dan anak kedua menghubungi ibu mereka namun panggilan tidak dijawab.
"Bagaimanapun, mereka dikejutkan dengan panggilan telefon mengatakan ibu mereka telah meninggal dunia kerana ditikam oleh suspek," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Razlam menambah, suspek pernah mengugut untuk membunuh kesemua ahli keluarganya ketika mereka tinggal di Batu Maung.
"Difahamkan, mangsa hanya akan datang ke rumah peninggalan suaminya itu tiga hari seminggu bermula Jumaat, manakala hari lain mangsa tinggal bersama anak sulungnya di Batu Maung.
“Suspek pernah dimasukkan ke wad rawatan psikiatri di Jalan Perak di sini tahun lalu,” katanya lagi.
Razlam menambah, motif pembunuhan masih dalam siasatan.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seskyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.