Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

UMNO minta jangan teruskan transaksi penjualan saham MAHB kepada GIP -Tok Mat


KUALA LUMPUR — Menteri daripada UMNO telah menyuarakan pandangan kepada Kerajaan supaya tidak meneruskan penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat pro-Israel, BlackRock melalui Global Infrastructure Partners (GIP).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pandangan dikemukakan itu bagaimanapun disuarakan selepas keputusan diputuskan kerana ia tidak melalui Kabinet.


Beliau berkata Khazanah Nasional Bhd perlu menilai kesan penjualan saham MAHB itu.

“Kita menteri-menteri UMNO memberikan pandangan jika boleh perkara ini tidak diteruskan tetapi dia punya transaksi sudah terlampau advanced jadi kita tengoklah macam mana.

“Kita tak tahu sama ada diteruskan atau tidak (keputusan) bukan di kalangan kita kerana Khazanah di bawah Kementerian Kewangan dan ia yang perlu melihat baik buruk atau apa saja impact perkara ini,” katanya menerusi klip video dimuat naik Youtube MalaysiaGazette TV pada Ahad.

Mohamad yang juga Menteri Luar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin supaya keputusan itu dibawa kepada Jemaah Menteri kerana yakin menteri-menteri daripada UMNO akan membantah cadangan tersebut.

Khairy dilaporkan berkata penjualan kepada BlackRock jelas bertentangan dasar kerajaan Malaysia selama ini, termasuk Kerajaan Madani.

Terbaharu, GIP menegaskan BlackRock Inc tidak pernah sama sekali terlibat dalam sebarang transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB melalui Gateway Development Alliance (GDA). — The Merdeka Times