Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Adik Albertine Leo ditemui di hotel dekat Batang Kali (video)


JOHOR BAHRU: Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui yang dilaporkan diculik, Sabtu lalu ditemui selamat di sebuah hotel murah dekat Batang Kali, Selangor, awal pagi tadi.

Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang turut berada bersama mangsa kemudian ditahan bagi membantu siasatan.


Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, berkata kanak-kanak itu kini berada di sebuah hospital bagi pemeriksaan kesihatan.

Beliau berkata, ketika ditemui, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada perubahan fizikal seperti dakwaan rambutnya sudah dipotong.

"Kita mengesahkan kanak-kanak sudah ditemui dalam keadaan selamat. Empat suspek sudah direman empat hari, manakala seorang lagi yang ditahan bersama mangsa akan dibawa pulang ke Johor untuk mendapatkan perintah tahanan reman," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Kumar berkata, motif penculikan kanak-kanak itu masih dalam siasatan, bagaimanapun mengesahkan tiada sebarang panggilan meminta wang tebusan diterima keluarga mangsa.

"Semua suspek tiada hubungan dengan mangsa dan tiada sebarang panggilan wang tebusan dibuat, maka motif penculikan masih lagi dalam siasatan.

"Kita merampas sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk membawa lari mangsa ke Selangor," jelasnya.

Sehingga kini, lima suspek berhubung kes penculikan itu dengan tangkapan pertama membabitkan dua lelaki dan seorang wanita kira-kira jam 1.30 petang semalam, sebelum tangkapan seorang lagi wanita pada lewat malam semalam.

Keempat-empat suspek berusia 28 hingga 55 tahun itu kini direman empat hari sehingga Jumaat ini.

Menurut Kumar, kes yang dilaporkan jam 12.30 tengah malam Ahad lalu berjaya diselesaikan dalam tempoh 48 jam.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Kumar berkata, laporan polis dibuat bapa mangsa selepas menyedari kanak-kanak itu hilang di tapak festival Bon Odori di Eco Galleria, Iskandar Puteri, Sabtu lalu, kira-kira jam 8.30 malam.

"Sebaik menyedari kehilangan mangsa, ibu bapanya berusaha mencari mangsa bersama rakan-rakan peniaga dan apabila tidak ditemui, mereka membuat laporan polis.

"Polis kemudian menggerakkan semua elemen dan melancarkan operasi bagi mengesan dan menyelamatkan mangsa," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah serta Sekayen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana sentuhan fizikal ke atas kanak-kanak.

Pada masa sama, Kumar menasihatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawan dan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

"Kita akan ambil tindakan jika ada mana-mana pihak yang sebarkan maklumat palsu dengan niat mengganggu emosi keluarga mangsa kerana sejak kejadian ini tular, keluarga banyak menerima panggilan telefon dan ini sedikit sebanyak mengganggu emosi mereka," katanya.

video,: