Kuala Lumpur: Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan membuat laporan polis terhadap dua akaun Facebook yang membuat kenyataan fitnah terhadap Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu.
Pengarah Biro Komunikasi Amanah Wilayah Persekutuan Mejar (B) Razali Zakaria berkata, beliau mengenal pasti dua hantaran dipercayai dimuat naik di Facebook oleh dua akaun yang dipercayai memaparkan gambar Timbalan Menteri (Aiman Athirah) bersebelahan tin minuman keras tertera logo Amanah.
Selain itu, terdapat kata-kata fitnah secara sindiran mengaitkan Timbalan Menteri menghalalkan judi dan mempromosikan arak di sekolah, katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, hari ini.
Razali berkata, kenyataan serta gambar dimuat naik oleh dua akaun Facebook berkenaan adalah fitnah dan palsu yang berniat menjatuhkan reputasi Aiman Athirah yang juga Ahli Parlimen Sepang.
"Sehingga petang semalam, hantaran fitnah berkenaan masih belum dipadamkan dan kami percaya akan ada lagi laporan polis susulan dibuat berhubung isu itu memandangkan ia juga membabitkan (imej) Amanah.
"Justeru itu, kami mahu pihak polis menjalankan siasatan terhadap pemilik dua akaun Facebook berkenaan mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan, Seksyen 3 Akta Fitnah 1957, Seksyen 5 akta sama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan Hafizzuddin Razian pula menggesa orang ramai supaya berhenti menyebar fitnah di media sosial.
"Penyebaran fitnah dikesan semakin berleluasa dengan sebelum ini kami ada membuat laporan polis terhadap pempengaruh yang membuat kenyataan fitnah di media sosial.
"Disebabkan itu, kami mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan kenyataan fitnah," katanya.
video: