SHAH ALAM - Polis telah merakam percakapan sembilan saksi bagi membantu siasatan berhubung kehilangan bahan api jenis kerosin Jet-A1 di Pangkalan Udara Semenanjung, Pasukan Gerakan Udara, Subang.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, setakat ini tiada tangkapan terbaharu dan enam individu termasuk tiga anggota polis yang ditahan masih dalam tahanan reman.
"Setakat ini, kita sudah merakam percakapan sembilan saksi untuk membantu siasatan. Nilai kerugian membabitkan kecurian bahan api itu adalah sebanyak RM105,000,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan polis menahan enam individu termasuk tiga anggota polis berpangkat rendah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan bahan api itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan bahan api berkenaan pada Isnin lalu.
Hasil siasatan dijalankan beberapa siri tangkapan dilakukan pada Selasa lalu terhadap enam lelaki berusia 31 hingga 55 tahun.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.