KUALA LUMPUR: Bekas pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional, Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham diperintah menjalani hukuman penjara 13 tahun dan dikenakan dua sebatan kerana merogol seorang wanita di sebuah hotel selepas sambutan ulang tahun kelahirannya, empat tahun lalu.
Tertuduh Mohd. Zulfahimin Mahdzir, 40, didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 31 Mei lalu atas pertuduhan pindaan kerana merogol wanita berusia 35 tahun itu yang juga kenalan rapat wakil rakyat berkenaan.
Hakim Nor Hasniah Ab. Razak berpuas hati bahawa pembelaan ahli perniagaan tersebut tidak mempunyai merit kerana gagal menyangkal keterangan saksi-saksi pendakwaan (saksi mata) yang menyatakan wanita itu mabuk pada malam kejadian.
Tertuduh dalam keterangannya pada 15 Januari lalu mengaku mengadakan hubungan seks dengan mangsa namun mendakwa ia dilakukan dengan kerelaan wanita itu, bukan dalam keadaan mabuk selepas mangsa menggodanya di bilik itu.
“Bagaimanapun, pembelaan tertuduh bahawa mangsa mengajak menemaninya pada malam itu tidak boleh dikatakan bahawa wanita tersebut secara automatik merelakan hubungan seks dengannya,” demikian menurut penghakiman bertulis hakim berkenaan bertarikh 25 Julai lalu yang diperoleh pihak media melalui laman web mahkamah, hari ini.
Mohd. Zulfahimin didakwa merogol mangsa di antara pukul 1 pagi dan 3 pagi, pada 5 Disember 2020 di sebuah bilik hotel di sini.
Naratif kes pendakwaan menyatakan, pada malam kejadian, mangsa dijemput oleh Muhammad Hilman untuk meraikan majlis ulang tahun kelahirannya (mangsa) bersama-sama tiga rakan lain termasuk tertuduh di restoran hotel berkenaan.
Kelima-limanya serta seorang rakan lain kemudian berhibur di pusat karaoke hotel itu. Mangsa kemudian mabuk selepas mengambil minuman keras sehingga terpaksa dipapah ke bilik hotel. Keterangan pekerja hotel menunjukkan bilik itu didaftar atas nama tertuduh.
Mangsa mengaku berada dalam keadaan separa sedar dan menyedari tertuduh menindihnya. Selepas terjaga kira-kira pukul 4.30 pagi, dia mendapati dirinya dalam keadaan bogel sebelum menemukan kondom yang telah digunakan dalam tong sampah bilik hotel itu.
Mangsa kemudian membuat laporan polis pada hari yang sama selepas mengesyaki dirogol kerana bahagian kemaluannya sakit selain kondom ditemukan dalam bilik tersebut.
Keputusan laporan kimia menunjukkan wujud spermatozoa pada vagina mangsa dan hasil ujian klinikal mendapati ia sepadan dengan tertuduh.
Bapa tiga orang anak itu dalam rayuannya memohon hukuman ringan atas alasan dia tidak mempunyai rekod jenayah selain merupakan penanggung tunggal keluarga manakala isteri menghidap penyakit tiroid dan memerlukan rawatan serta pembedahan.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal kerana tertuduh telah mengambil kesempatan terhadap wanita tersebut yang juga kenalannya dengan merogol mangsa yang ketika itu dalam keadaan mabuk.
Mohd. Zulfahimin bagaimanapun merayu terhadap sabitan dan hukuman tersebut ke Mahkamah Tinggi.