Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Bekas polis bunuh kekasih sedang hamil diketepikan hukuman gantung


Johor Bahru: Seorang bekas anggota polis berpangkat koperal dihukum penjara 40 tahun dan 12 sebatan selepas Mahkamah Persekutuan yang bersidang di sini, tadi, mengenepikan hukuman gantung terhadapnya.

Tertuduh, Muhammad Faizal Salim, 47, yang didakwa membunuh kekasihnya yang sedang hamil pada 2015 berjaya dalam permohonan semakan hukuman gantung selepas panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan.


Bersidang sama adalah dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Faizal didakwa membunuh Norzielawati Akmar Afandi berusia 35 tahun ketika kejadian di taman rekreasi Hutan Bandar Bukit Cantik di Mersing, antara jam 11 malam, 12 April 2015 dan 12.30 tengah malam, 13 April 2015.

Laporan bedah siasat mendapati punca kematian Norzielawati adalah akibat hentakan kuat dengan benda tumpul pada kepalanya.

Mangsa juga mempunyai 47 kecederaan lain di badan seperti kesan lebam dan luka.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi membantah semakan permohonan dibuat lelaki itu dengan alasan kematian mangsa adalah tragis.

"Kandungan mangsa juga sudah mencecah enam bulan, sekali gus menyaksikan pemohon membunuh dua nyawa. Mangsa juga merayu supaya tidak dipukul, namun tidak diendahkan pemohon," hujahnya.

Sementara itu, peguam Iskandar Shah Ibrahim dalam hujahnya pula berkata, ini bukan satu kekejaman yang ekstrim dan pemohon juga berniat untuk menghantar mangsa bagi mendapatkan rawatan.

Pada 21 Mei 2018, Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap Muhammad Faizal.

-HMetro