Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

GIP Blackrock sedia lepas pegangan MAHB dalam tempoh singkat


KUALA LUMPUR: Global Infrastructure Partners (GIP) menyatakan kesediaan untuk menjadi pemegang saham minoriti Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) selain bersedia melepaskan pegangan dalam tempoh yang singkat, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, pemilihan GIP daripada beratus syarikat yang dinilai juga berasaskan kriteria ketat termasuk kesediaan menerima warga negara Malaysia sebagai Pengerusi dan Pengarah Urusan MAHB.


"Seperti saya sebutkan tadi, pendirian kita tegas dalam mempertahankan kepentingan pegangan dalam aset strategik negara.

"Dalam hal ini, hanya GIP dilihat menepati syarat ditetapkan iaitu sedia untuk melabur, menjadi minoriti, menyumbang kepakaran dan melepaskan pegangan mereka dalam jangka masa yang sesuai," katanya semasa sesi penerangan kamar khas pada persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata, Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga sudah melaksanakan proses yang terperinci dan komprehensif dalam memilih rakan kongsi teknikal yang seiring dengan matlamat untuk mengubah dan meningkatkan kecekapan lapangan terbang negara.

Justeru, beliau yakin kepakaran, kejayaan dan pengalaman GIP dalam mengoptimumkan tahap kecekapan di lapangan terbang adalah yang diperlukan bagi meningkatkan daya saing serta kecekapan lapangan terbang negara.

Amir Hamzah juga turut memberi contoh, GIP berjaya meningkatkan jumlah laluan penerbangan di Lapangan Terbang Edinburgh daripada 141 kepada 225 manakala bilangan penumpang juga meningkat daripada 9.2 juta pada 2012 kepada 14.4 juta pada tahun lalu.

"GIP juga menggantikan aerotrain penumpang di Lapangan Terbang Gatwick hanya dalam tempoh 10 bulan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga mengambil kira keperluan mendesak untuk melaksanakan pembaharuan di MAHB menerusi Konsortium yang diwujudkan dengan diterajui oleh Khazanah dan KWSP membabitkan langkah pengambilalihan pegangan majoriti 70 peratus dalam MAHB dan baki 30 peratus pula oleh GIP dan Abu Dhabi Investment Authority.

"Dengan tertubuhnya konsortium ini, pembaharuan kepada lapangan terbang negara dapat dilaksanakan dengan kadar yang segera.

"Keperluan pelaburan MAHB yang dianggarkan berjumlah RM10 bilion untuk tempoh lima tahun dapat disegerakan dengan mengambil kira kedudukan kewangan kukuh ahli konsortium," katanya. - BERNAMA