Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Jangan sengaja cetus panik, rakyat Malaysia terkandas di Bangladesh dibawa pulang esok -Tok Mat (video)


PETALING JAYA: Kerajaan mengaktifkan pelan evakuasi untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Dhaka, Bangladesh termasuk 124 pelajar, kata Menteri Luar Mohamad Hasan.

Mohamad berkata keputusan itu dibuat susulan situasi rusuhan yang kian memuncak di negara itu, lapor Sinar Harian.


Penerbangan menggunakan pesawat AirAsia Airbus A330 yang akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dhaka jam 10 pagi esok, kemudian dijangka berlepas pulang sejurus urusan penerbangan pulang selesai, katanya.

Kementerian Luar (Wisma Putra) semalam berkata, pelajar Malaysia yang terjejas dengan situasi semasa di Bangladesh sudah dipindahkan ke bangunan Suruhanjaya Tinggi demi keselamatan mereka.

Sehingga lewat Jumaat lalu, daripada 95 pelajar Malaysia di Bangladesh, dua sudah meninggalkan Dhaka baru-baru ini dengan bantuan Suruhanjaya Tinggi.

Kerajaan Bangladesh melaksanakan perintah berkurung di seluruh negara sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan dan demonstrasi yang menyebabkan perkhidmatan internet, rangkaian data mudah alih serta pengangkutan awam terganggu.

Demonstrasi yang dimulakan oleh kumpulan pelajar itu bagi membantah sistem kuota pekerjaan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Jangan tokok tambah kata Wisma Putra tak buat apa-apa

Mohamad Hasan menempelak segelintir pihak yang mendakwa kerajaan, khususnya Kementerian Luar, 'lepas tangan' dan tidak berbuat apa-apa berhubung keselamatan penuntut Malaysia di Bangladesh.

Beliau meminta pihak terbabit supaya bertenang dan tidak menokok tambah sehingga merumitkan keadaan dan mencetuskan rasa panik.

"Saya berharap supaya pihak yang menokok tambah berita mengatakan bahawa kami pihak Kementerian Luar dan kedutaan tidak berbuat apa-apa, supaya bertenang.

"Daripada hari pertama ibu pejabat di Wisma Putra berurusan dengan kedutaan kita di Dhaka dan saya sendiri berurusan, kadang-kadang dua tiga kali sehari semasa komunikasi masih baik sehinggalah komunikasi menjadi sangat rendah (bermasalah)," katanya pada sidang media khas, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan segelintir pihak yang mengatakan kerajaan tidak mengambil peduli dan enggan membawa pulang semua rakyat Malaysia yang terkesan akibat rusuhan memuncak di Bangladesh.

Mohamad menegaskan, tidak timbul isu mengatakan kerajaan tidak ambil peduli penuntut Malaysia di negara berkenaan.

"Daripada hari pertama (rusuhan), mereka sudah berjumpa (dengan pihak kedutaan) dinasihatkan, mana yang boleh duduk hostel (asrama), disewakan bas, ada pegawai mengiringi mereka sampai selamat.

"Manakala di Mymensingh Medical College (MMC) yang jauh lima ke enam jam perjalanan dari Dhaka, keadaan tidak begitu serius, mereka dinasihati supaya tinggal di kampus dan bekalan makanan sudah sampai, sudah dihantar kepada anak-anak kita di kampus terbabit," katanya.

Justeru, beliau sekali lagi menegaskan bahawa keselamatan penuntut serta rakyat Malaysia di Bangladesh menjadi keutamaan kerajaan.

"Mereka yang di luar jangan tokok tambah, janganlah buat nasi tambah, masuk sambal belacan, macam-macam, susahlah.

"Bukan kami biarkan, kami tak biarkan terutama keselamatan anak-anak kita yang berada di sana, Insya-Allah," katanya.

video:

video: