PRK SG BAKAP | Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata kemenangan calon PH Joohari Ariffin pada Sabtu ini akan menjadi hadiah untuk perdana menteri.
Katanya ini memandangkan kawasan dewan undangan negeri (DUN) itu merupakan tempat kelahiran Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR.
“Jadi insya-Allah kalau kemenangan berpihak kepada Cikgu Joohari, kemenangan itu adalah hadiah untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya juga berazam jika pengundi-pengundi Sungai Bakap memberi kemenangan kepada Cikgu Joohari saya akan datang balik membantu membawa pembangunan di Sungai Bakap ini,” katanya juga timbalan perdana menteri ketika hadir ke program malam kasih bersama pemimpin di Sungai Kechil, Nibong Tebal, malam tadi.
Turut hadir Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.
Joohari dalam persaingan satu lawan satu akan berdepan calon PN Abidin Ismail pada Sabtu ini.
PRK DUN Sungai Bakap itu diadakan selepas wakil rakyatnya Nor Zamri Latiff meninggal dunia pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Ahmad Zahid berkata dia sendiri bertindak turun berkempen ke Sungai Bakap kerana kemenangan calon kerajaan PH itu sangat penting dan ia seperti kemenangan kepada BN dan Umno juga.
Jelasnya, kerjasama dan keserasian gabungan BN dan PH sudah berlangsung dengan baik dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) termasuk di Sungai Bakap.
“Tambahan pula Umno akan berdepan PRK di DUN Nenggiri, Datuk Seri Saifuddin kalau hari ini saya datang membantu calon PKR di Sungai Bakap, saya pasti tanpa diminta pun Datuk Seri Saifuddin akan datang membantu calon Umno BN di Nenggiri,” katanya.
PRK Nenggiri diadakan selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu mengumumkan kerusi itu kosong ekoran notis Bersatu mengenai keahlian Mohd Azizi Abu Naim, yang tergugur dari parti berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK Nenggiri ditetapkan pada 17 Ogos depan.
video: