Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kerjasama BN PH akan ditentukan Dewan Tertinggi BN -Tok Mat


SEREMBAN: Keputusan berkaitan kerjasama di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan ditentukan Dewan Tertinggi BN.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka membawa perkara itu pada mesyuarat jawatankuasa tertinggi BN akan datang.


Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, langkah itu adalah prosedur operasi standard (SOP) BN kerana sebarang keputusan pada peringkat Dewan Tertinggi BN dibuat secara bersama.

"Selagi belum ada mesyuarat daripada jawatankuasa tertinggi BN, banyak andaian dibuat, namun akhirnya apabila Dewan Tertinggi BN membuat keputusan, itulah yang akan dijadikan dasar," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau, di Hotel Royal Chulan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad Zahid baru-baru ini bahawa BN akan terus bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU16.

Terdahulu, MCA yang juga anggota komponen BN memberi amaran kepada Presiden UMNO itu supaya tidak membuat keputusan bersendirian mengenai rakan kerjasama gabungan itu menjelang PRU16.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilaporkan mendakwa, banyak keputusan dibuat Ahmad Zahid sebelum ini bersifat 'unilateral' atau sebelah pihak, termasuk kenyataannya yang mahu kerjasama BN-PH diteruskan pada PRU16.

Mengenai perlunya ahli gabungan BN membincangkan perkara itu bagi mengelak pelbagai spekulasi, Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata, mereka boleh membincangkan perkara berkenaan.

"Kalau ada parti hendak membincangkan pada mesyuarat, ia tiada isu. MCA atau MIC yang rasa kurang selesa dengan kenyataan itu boleh bawa dalam mesyuarat.

"Kita boleh dapatkan keputusan awal sama ada ya atau tidak, daripada kita terus berspekulasi, lebih baik kita buat keputusan. Yang penting ahli tidak terkeliru," katanya.