Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes Jana Wibawa: Muhyiddin guna khidmad King's Counsel


KUALA LUMPUR: Permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan kebenaran menyemak keputusan mahkamah mengembalikan empat tuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta, akan dikendalikan pasukan peguam termasuk seorang Peguam Diraja (King's Counsel) dari United Kingdom (UK).

Pelantikan Steven Perian KC dalam pasukan pembelaan Muhyiddin disahkan salah seorang peguam belanya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik ketika dihubungi pemberita, hari ini.


Panel lima hakim Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan Muhyiddin bagi kebenaran menyemak keputusan panel sebelum ini yang mengembalikan semula empat tuduhan berkenaan, pada 9 Julai ini.

KC merujuk kepada gelaran diberikan kepada peguam kanan di dalam bidang kuasa Komanwel, yang mempunyai tahap kecekapan tinggi dalam bidang perundangan dan sering berperanan mengetuai kes penting atau bertindak sebagai penasihat.

Sementara itu, kenyataan media firma guaman RDS Partnership menyebut, firma itu mengumumkan kemasukan Perian sebagai rakan kongsi baharu, daripada Chambers 2KBW.

Kenyataan itu menyatakan, bahawa Perian adalah satu-satunya Peguam Diraja yang diterima masuk ke Mahkamah Tinggi Malaya.

Menurut firma guaman itu, Perian adalah peguam jenayah yang tersohor di UK dan menjalankan pendakwaan bagi pihak kerajaan UK (the Crown) dalam pelbagai kes kesalahan ekonomi dan jenayah kewangan.

"Antara kes yang dikendalikannya termasuk konspirasi penipuan terhadap institusi kewangan UK membabitkan US Treasury Bonds bernilai AS$2.3 trilion, jenayah berkaitan komputer, dan pengubahan wang haram.

"Beliau juga membela kes penipuan di UK, termasuk penipuan sektor awam, penipuan yuran pendahuluan, konspirasi untuk menipu, dan pengubahan wang haram," kata kenyataan itu.

Pada 27 Mac lalu, Muhyiddin memfailkan permohonan supaya mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mengembalikan empat pertuduhan berkaitan salah guna kuasa terhadapnya, selepas Mahkamah Tinggi sebelum itu melepas dan membebaskan beliau daripada pertuduhan berkenaan.

Dalam notis usulnya, Muhyiddin berkata keputusan Mahkamah Rayuan adalah terbatal atau menyalahi undang-undang kerana ia dibuat di luar bidang kuasa yang diberikan mengikut Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Muhyiddin, 77, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden BERSATU, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Presiden BERSATU itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik BERSATU.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.