Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ketua Hamas, Ismail Haniyeh dibunuh di Iran (video)


Tehran: Pengawal Revolusi Iran pada Rabu berkata, ketua Hamas, Ismail Haniyeh, terbunuh di Tehran, bersama seorang pengawal peribadinya.

"Kediaman Ismail Haniyeh, ketua pejabat politik, diserang di Tehran, dan akibat kejadian ini, dia dan salah seorang pengawal peribadinya, syahid," kata kenyataan oleh Kor Pengawal Revolusi di laman web beritanya, Sepah.


Punca "kejadian" tidak serta-merta jelas tetapi Pengawal Revolusi Iran berkata, ia "sedang disiasat."

Haniyeh tiba di Tehran pada Selasa untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden baharu Iran Masoud Pezeshkian di Parlimen.

Beliau bertemu dengan Pezeshkian serta pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Istiadat angkat sumpah pada Selasa diadakan di tengah-tengah kebimbangan perang antara Israel dan Hizbullah Lubnan, susulan serangan roket pada Sabtu lalu ke atas Bukit Golan yang diilhak Israel.

Israel menuduh Hizbullah bertanggungjawab atas serangan yang mengorbankan 12 kanak-kanak, tetapi kumpulan Lubnan yang disokong Iran itu menafikan sebarang pembabitan.

Selasa lalu, Israel menyerang kubu kuat Hizbullah di selatan Beirut sebagai tindakan balas terhadap serangan Golan, mengatakan ia membunuh komander yang bertanggungjawab bagi serangan itu.

Iran, yang tidak mengiktiraf Israel dan menganggapnya sebagai musuh ketatnya, berulang kali memberi amaran kepada Israel supaya tidak menyerang Lubnan.

Ketegangan serantau meningkat sejak permulaan perang Israel-Hamas pada Oktober, menarik kumpulan pejuang yang disokong Iran di Syria, Lubnan, Iraq dan Yaman.

Iran menjadikan sokongan terhadap perjuangan Palestin sebagai tumpuan dasar luarnya sejak revolusi Islam 1979.

Ia memuji serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel tetapi menafikan sebarang pembabitan.


video:



video: