Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Perlis tambah tulisan Siam di papan tanda Padang Besar, Wang Kelian


KANGAR: Majlis Perbandaran Kangar dijangka menambahkan tulisan bahasa Siam, selain bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, pada papan tanda kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) itu di sekitar kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar dan Wang Kelian, tidak lama lagi.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar, Affendi Rajini Kanth, berkata perkara ini sudah mendapat perhatian Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, pada satu perjumpaan membabitkan PBT itu di Padang Besar.


"Perkara ini sebenarnya sudah mendapat perhatian baginda dalam satu perjumpaan di Padang Besar, baru-baru ini, yang menitahkan papan tanda di kawasan sempadan (Malaysia-Thailand) di Perlis diletakkan juga tulisan bahasa Siam (Thailand).

"Oleh itu, kami akan menggunakan tulisan bahasa Siam bersama bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pada setiap papan tanda atau 'billboard' seperti 'Selamat Datang', yang berada bawah kendalian kami selepas ini.

"Ini kerana kita tahu kawasan seperti Padang Besar dan Wang Kelian adalah pintu masuk rakyat negara jiran ke negara kita," katanya ketika ditemui di pejabat beliau, hari ini.

Affendi memaklumkan setakat ini, belum ada tarikh rasmi untuk pelaksanaan rancangan berkenaan tetapi ia sudah dibincangkan dalam mesyuarat PBT itu, semalam.

"Kita menjangka setidak-tidaknya dua bulan dari sekarang mungkin penggunaan tulisan bahasa Siam ini dapat dilaksanakan.

"Perancangan ini juga akan membabitkan kerjasama pelbagai agensi. Ia masih pada peringkat perbincangan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Affendi berkata, pihaknya memberi suatu tempoh 'grace period' kepada pemilik premis perniagaan untuk turut menggunakan tulisan Jawi pada papan tanda mereka.

"Kita sudah merancang untuk menguatkuasakan pelaksanaan ini agar semua papan tanda dan papan iklan di Perlis mempunyai tulisan Jawi, namun ada perkara yang harus kita selaraskan," katanya.

Affendi menjelaskan, pelaksanaan itu akan dilakukan secara berperingkat di mana pemilik premis perniagaan baharu perlu menyertakan tulisan Jawi pada papan tanda perniagaan mereka, manakala pemilik premis sedia ada juga perlu menukar papan tanda perniagaan mereka dengan menyertakan sekali tulisan Jawi.

Pada 1 Februari lalu, Kerajaan Perlis mewajibkan penggunaan tulisan Jawi pada setiap papan tanda premis perniagaan, iklan atau 'billboard' di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil, dipetik berkata penguatkuasaan itu akan turut membabitkan papan tanda jalan di taman perumahan serta kawasan kejiranan di negeri ini.