Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Rogol dan bakar budak 4 tahun, bekas buruh kekal dihukum gantung


PUTRAJAYA - Seorang bekas buruh kontrak yang membunuh kanak-kanak empat tahun, dikenali Dirang kekal dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa.

Panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak permohonan Muidin Maidin, 37, semakan mengetepikan hukuman mati yang dikenakan terhadapnya.


Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan.

Mengikut pertuduhan Muidin dituduh membunuh Nurul Nadirah Abdullah (Dirang), berusia 4 tahun 9 bulan, di ladang kelapa sawit di Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam, Masai di Johor Bahru antara jam 11.30 pagi, 1 Mac 2012 dan 12 tengah malam, keesokan hari.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari memohon mahkamah mengekalkan hukuman mati terhadap pemohon kerana kejadian yang menimpa kanak-kanak itu sangat tragis.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa hanya berusia empat tahun dan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli mi segera dan telur.

“Pemohon kemudian telah membawa mangsa ke kebun kelapa sawit lalu membunuh dan membakarnya.

“Terdapat kesan DNA (asid deoksiribonukleik) milik tertuduh dalam kemaluan mangsa,” katanya.

Sementara itu, peguam, Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud yang mewakili pemohon berkata, sejak di penjara bermula tahun 2012, anak guamnya banyak mendekatkan diri dengan aktiviti keagamaan dan mengaku insaf.

Mendengar hujah peguam itu, Mohd Amril membantah dengan mengatakan, meskipun Muidin insaf, ia tidak cukup untuk menebus perbuatan kejamnya terhadap Dirang.

Pada Jun 2013, Muidin dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru setelah didapati bersalah membunuh kanak-kanak malang berkenaan.

Kemudian pada 15 Disember 2014 Mahkamah Rayuan di sini, mengekalkan hukuman sama diikuti Mahkamah Persekutuan pada 28 Mei 2015.

Pada 1 Mac 2012, Dirang dilaporkan hilang ketika membeli mi segera dan telur di kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam sebelum disahkan meninggal dunia akibat dibunuh dan dibakar pada 12 Mac tahun yang sama.

Misteri kehilangan Dirang terjawab apabila laporan Jabatan Kimia mengesahkan ujian DNA ke atas mayat rentung yang dijumpai di sebuah lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai, Johor pada 8 Mac 2012 adalah milik mangsa.