Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

"Settle down" dulu sebelum laksana penyasaran RON95 -Amir Hamzah


Tumpat: Kerajaan masih melihat keberkesanan inisiatif penyasaran subsidi diesel dan memfokuskan perkara itu sebelum pelaksanaan subsidi bersasar RON95 dibuat.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan meminta agar rakyat tidak membuat sebarang spekulasi sebaliknya memberi masa kepada kerajaan menyelesaikan terlebih dahulu mengenai penyasaran subsidi diesel.


"Kita masih melihat keberkesanan inisiatif penyasaran subsidi diesel dan data kita tengok berjalan lancar atau tak masih diperhalusi.

"Dalam masa yang sama YB Rafizi (Menteri Ekonomi) dan Kementerian Ekonomi masih perhalusi cara penyasaran RON95 yang berkesan, beri masa kita 'settle down' dulu untuk lihat (sama ada) cara yang sama (dengan penyasaran diesel) akan berkesan.

"Buat masa sekarang fokus (penyasaran subsidi) diesel dulu dan beri kerajaan cara untuk perhalusi, tak elok kita spekulasi apa yang terjadi," katanya ketika sidang media di Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Terdahulu beliau diiringi Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long hadir di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor sempena lawatan kerjanya.

Amir Hamzah berkata, sejak pelaksanaan penyasaran subsidi diesel pada 10 Jun lalu, data menunjukkan pengurangan ketara jualan diesel dari stesen minyak.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada awal Jun lalu, purata jualan harian diesel dari stesen minyak di seluruh semenanjung adalah 28.6 juta liter sehari dan sejak pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, ia berkurangan kepada 22.2 juta liter sehari.

Menurutnya lagi, pengurangannya adalah sebanyak 6.5 juta liter sehari atau 23 peratus jualan diesel dari stesen minyak di Semenanjung dan daripada jumlah yang dinyatakan, boleh anggarkan jumlah ketirisan yang dapat dielakkan bernilai lebih RM250 juta sebulan.

"Kesimpulan ini disokong dengan data yang menunjukkan jualan diesel secara komersil meningkat sebanyak 4.8 juta liter sehari bagi tempoh perbandingan yang sama.

"Pada masa yang sama, terdapat stesen minyak di kawasan utara yang berdekatan dengan sempadan mengalami kejatuhan jualan diesel sehingga 40 hingga 50 peratus sekali gus menunjukkan penurunan aktiviti penyeludupan ke negara jiran disebabkan pengurangan margin keuntungan penyeludupan," katanya