Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Sultan Pahang rasmi tukun gerabak LRT di Pulau Tioman


ROMPIN – Pulau Tioman menjadi pulau pertama di Malaysia melabuhkan tukun gerabak sistem transit aliran ringan (LRT) yang diiktiraf di dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Majlis pelancaran tukun gerabak LRT tersebut disempurnakan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Monkey Bay.

KKKKKKKKK

Turut berangkat mencemar duli, Tuanku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta paduka-paduka anakanda baginda yang lain.

Dua tukun gerabak LRT berkenaan dilabuhkan di lokasi yang dikenali sebagai Tapak Selam Al-Sultan Abdullah.

Pada majlis pelancaran hari ini, Al-Sultan Abdulah ditunjukkan video tukun berkenaan menggunakan drone dasar laut.

Projek melabuhkan tukun gerabak LRT tersebut dijayakan oleh Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) serta agensi kerajaan persekutuan dan juga negeri digerakkan oleh 60 penyelam skuba diketuai oleh Tengku Panglima Raja Pahang, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Dua gerabak LRT berkenaan adalah model awal gerabak yang digunakan di Laluan Kelana Jaya dari jenis Advance Rapid Transit (ART) II dan dibangunkan oleh Bombardier Transport.

Tukun gerabak LRT dengan panjang keseluruhan 33.70 meter setiap satu itu kini berada pada kedalaman 18 meter dan sedia untuk dikunjungi penyelam skuba dan pelancong ke Pulau Tioman.

Semasa titah perasmian, Al -Sultan Abdullah menyatakan rasa kagum baginda terhadap usaha YASA melabuhkan tukun gerabak LRT itu di Pulau Tioman.

Titah baginda, tukun berkenaan diharap mampu menarik kehadiran lebih ramai pelancong terutama penyelam skuba ke Pulau Tioman.

“YASA dan LDA (Lembaga Pembangunan Tioman) juga perlu pantau tukun LRT tersebut supaya selamat bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

“Saya teruja selepas melihat video usaha melabuhkan tukun gerabak LRT tersebut dan Insya-Allah saya akan ke sini lagi dan cuba menyelam di situ dalam masa terdekat,” titah baginda.

Baginda turut bertitah, YASA dan Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) juga diminta untuk memperbanyakkan usaha-usaha merehabilitasikan tukun-tukun lama di pulau ini.

Dalam pada itu, Pengurus Besar YASA , Mohd. Fakhrul Islam Juhali berkata, usaha untuk melabuhkan tukun gerabak LRT itu bertujuan bagi memperkenalkan tapak terumbu baharu yang dikenali sebagai Tapak Selam Al-Sultan Abdullah.

Menurut Mohd. Fakhrul, usaha melabuhkan tukun gerabak LRT itu juga adalah sebagai penambahan lokasi biodiversiti marin bagi ikan dan terumbu karang.

“Malah kita menjangkakan dengan adanya tukun baharu itu ia akan dapat meningkatkan ekonomi penduduk Pulau Tioman dan menarik lebih ramai pelancong luar.

“Pulau Tioman dipilih disamping sembilan pulau-pulau taman laut yang ada di Pahang disebabkan kekayaan biodiversiti persekitaran termasuk kepentingan strategik pelancongan,” katanya.

Wakil MBOR, Siti Hajar Johor menyatakan kejayaan melabuhkan tukun tersebut diiktiraf sebagai tukun pertama menggunakan gerabak LRT di bawah kategori bangunan dan struktur.