KUALA KANGSAR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara lantang menolak kerjasama parti itu dengan Pas selagi Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi presidennya.
Beliau berkata, kerjasama dengan parti itu tidak akan terjadi sama sekali susulan sejarah yang dilalui sebelum ini di mana sikap pimpinan tertinggi Pas yang kerap berbohong.
“Saya ingat lagi dalam Majlis Tertinggi, Perdana Menteri ketika itu yang mewakili kita berkata, UMNO mesti bekerjasama dengan Pas kalau tidak kita menang sembilan kerusi sahaja dan tidak boleh bentuk kerajaan.
“Saya bentang pada Majlis Tertinggi, saya tanya setiap orang, ketika itu saya seorang sahaja, saya kata tidak boleh beri pada Pas kerana Pas ini berbohong dari dahulu hingga sekarang,” katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, beliau adalah saksi kepada pembohongan yang dilakukan Abdul Hadi di mana Ahli Parlimen Marang itu disifatkan sebagai pemimpin yang tidak tetap pendirian.
“Mata ini saksi hidup, kita bincang empat mata dengan Hadi Awang, depan kita cakap setuju tapi esok tukar tidak setuju. Lepas itu kita pujuk, mereka pun pujuk juga, tiga hari kemudian jumpa lapan mata antara presiden dan timbalan presiden (Pas) dengan saya dan timbalan.
“Setuju juga tapi esok tukar lagi. Jangan percayalah selagi orang itu (Abdul Hadi) jadi presiden, jangan harap kita akan bekerjasama dengan parti menunggang Islam,” ujar beliau.
Pada 5 Disember lalu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyifatkan Pas sebagai ‘gila talak’ apabila parti itu tidak menolak untuk kembali bekerjasama dengan UMNO.
Menurut Ahmad Zahid, pihaknya belum terbuka hati untuk kembali menjalinkan kerjasama dengan parti tersebut. – KOSMO! ONLINE
video: