Selepas tiga bulan dimadukan, seorang usahawan kosmetik di Kelantan diceraikan suami ketika sedang bersiaran langsung di Tiktok.
Menurut Harian Metro hari ini, Nur Hazwani Mustapha, 37, berkata kejadian itu berlaku ketika dia bersiaran langsung di rumahnya di Pasir Tumboh, Kota Bharu, pada Rabu lalu, selepas bergaduh dengan suaminya.
"Ketika itu kami bergaduh dan berlaku provokasi antara kami sebelum suami melafazkan cerai kepada saya. Suami kahwin dengan wanita (lain) itu lebih tiga bulan lalu atau April lalu disyaki di Thailand tanpa pengetahuan saya.
“Pada mulanya, saya mahu menerima 'madu', namun disebabkan mereka suka perli dan membuat provokasi, jadi saya tidak bersetuju dengan perkahwinan kedua suami.
"Suami juga seolah-olah lebih sayangkan isteri kedua berbanding saya sebagai isteri pertama sehingga hati saya menjadi tawar," katanya seperti dipetik.
Terdahulu, satu rakaman siaran langsung di TikTok tular di media sosial memaparkan wanita berkenaan diceraikan suaminya.
Menurut laporan itu lagi, ibu kepada empat anak itu berkata dia dan suami berkahwin selama 10 tahun dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua anak berusia empat dan tujuh tahun.
Dia juga menceritakan pengorbanannya yang berhenti kerja sebagai anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum ini demi tanggungjawab menjaga suami dan keluarga.
"Demi suami, saya sanggup berhenti kerja kerana mahu berada di sisi suami, namun selepas 10 tahun ini yang saya dapat. Ketika awal perkahwinan, saya sanggup hidup susah bersamanya sehingga kehidupan kami berubah ke arah yang lebih baik, tetapi ini balasan saya dapat.
"Walaupun diceraikan ketika sedang bersiaran langsung dengan 3,000 orang yang sedang melihatnya, namun saya reda dan mahu meneruskan kehidupan bersama anak-anak," katanya lagi.
Nur Hazwani turut mengakui berasa lega dengan perpisahan mereka dan mahu memberi tumpuan terhadap perniagaan kosmetik secara atas talian yang dijalankannya.
Malah jelasnya, penceraian itu memberi hikmah apabila pelanggannya semakin bertambah dan kian dikenali ramai.
video: