KUALA LUMPUR - Satu laporan polis dibuat oleh Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung video tular membabitkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketuanya, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal berkata, laporan itu dilakukan terhadap akaun media sosial yang melibatkan komponen Kerajaan Perpaduan kerana memuat naik video berbaur fitnah.
Menurutnya, rakaman berkenaan telah disunting sehingga memperlihatkan Muhyiddin mempertikaikan tugas dan peranan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.
“Puncanya apabila laman media, telah menyunting (rakaman kempen Muhyiddin) secara salah dengan niat untuk melaga-lagakan Perikatan Nasional (PN) dan Raja-Raja Melayu.
“Ini merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana mengambil rakaman singkat bagi mendorong, melagakan serta menyebarkan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui selepas laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Dang Wangi pada Selasa.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fahysal menegaskan, video tular itu bertentangan dengan perjuangan parti yang secara dasarnya mempertahankan agama, bangsa dan negara.
“Tidak mungkin kami (pembangkang) cuba untuk meruntuhkan institusi raja sedangkan kami paling lantang mempertahankan hak Melayu dan Islam ketika UMNO di Parlimen berdiam diri.
“Oleh itu, kami bangkit mempertahankan dan mendangkal tuduhan daripada pihak ini.
"Ini adalah permainan politik dan pembunuhan watak terhadap Muhyiddin,” ujarnya.
Sebelum ini, tular satu rakaman memaparkan bekas Perdana Menteri itu seolah-olah secara sengaja dan sinis mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi YDPA ke-16.
Susulan itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin kerana menyindir, memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
Ekoran itu, Istana Pahang membuat satu laporan terhadap Muhyiddin kerana menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Video Muhyiddin: