Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Da'i Syed dihukum penjara 10 tahun, tiga sebatan


SHAH ALAM - Pendakwah selebriti Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful menangis teresak-esak selepas Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, menjatuhinya hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan atas satu pertuduhan merogol seorang wanita, pada lima tahun lalu.

Hakim, Norazlin Othman memutuskan memerintahkan Syed Shah Iqmal, 29, dihukum serta-merta selepas didapati bersalah kerana gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.


Mendengar keputusan berkenaan, dia yang memakai kemeja putih dan berkot hijau, kelihatan terkejut lalu menunduk ketika berada dalam kandang tertuduh.

Dia ditemani isterinya, pengacara, Hana Ismail, 38, yang baru melahirkan anak 16 hari lalu.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, pada jam 1.35 malam, 11 September 2019 lalu.

Atas kesalahan tersebut, dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 10 April tahun lalu, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya, di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan terbabit, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Selain kes ini, dia yang didakwa atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta, dilepaskan dan membebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 31 Mei 2022 lalu, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.