Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Dua mayat wanita ditemui dalam longkang bangunan terbiar, lelaki ditahan


Dua mayat wanita ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap di dalam longkang di belakang sebuah bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada Isnin.

Mangsa-mangsa tersebut ditemui terbaring bersebelahan dengan kesan kecederaan yang jelas kelihatan.


Salah seorang mangsa ditemui dalam keadaan terlentang, manakala mangsa kedua dijumpai dalam keadaan tertiarap.

Sepasukan Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bersama Unit Anjing Pengesan (K-9) segera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

Proses siasatan di lokasi tersebut selesai pada jam 8.50 malam, lapor Sinar Harian.

Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Mayat merupakan ibu dan anak

Dua mayat tersebut disahkan adalah dua beranak.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, mayat wanita berusia 34 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu ditemukan sekitar 5 petang semalam.

Beliau berkata, mayat dua beranak itu ditemukan orang awam sebelum menghubungi pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada 5.04 petang.

"Sejurus selepas menerima laporan berhubung kejadian itu, pasukan penyiasat digerakkan ke lokasi untuk melakukan siasatan awal.

"Siasatan di lokasi kejadian mendapati kedua-dua mayat yang lengkap berpakaian tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, ditemukan mati dalam keadaan tertiarap dan terlentang berdekatan antara satu sama lain di dalam longkang kecil.

"Mereka ditemukan dengan kesan kelar pada leher kedua-dua mayat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siti Nor Salawati berkata, mayat kedua beranak yang dipercayai warga asing itu kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi tujuan bedah siasat.

Beliau berkata, berdasarkan risikan pantas yang dilakukan, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 43 tahun yang dipercayai suami dan bapa kepada kedua-dua mangsa pada 9 malam tadi di Masjid Bukit Pinang, di sini.

"Tangkapan akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar esok bagi tujuan permohonan tahanan reman untuk meneruskan siasatan lanjut.

"Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata, polis juga meminta kerjasama daripada individu atau pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian untuk tampil memberi keterangan di mana-mana balai polis berhampiran, atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Setar, Asisten Superintendan Faizul Izuan Harun di talian 04-7747222.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan" katanya.