Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Exco Kelantan tuntut pemilik FB jelas niat muat naik video hiburan tak senonoh di Bachok


Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah menuntut penjelasan pengendali halaman Facebook Amran Fans berkenaan tujuan dan niat sebenar mereka memuat naik semula rakaman video hiburan yang berlaku lebih setahun lalu.

Ini kerana katanya, video persembahan tersebut memberikan gambaran kurang baik kepada penduduk Bachok dan penguat kuasa Majlis Daerah Bachok seolah-olah membenarkan persembahan kurang senonoh oleh penyanyi wanita secara terbuka di depan khalayak.


"Sedangkan persembahan wanita sedemikian sudah lama tidak dianjurkan oleh mana-mana pihak bahkan penyanyi wanita tersebut juga sudah lama tidak aktif dalam persembahan sedemikian dan sudah berhijrah ke arah yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semakan mendapati video tersebut memaparkan seorang wanita berpakaian baju kurung dan bertudung sedang bernyanyi dikir barat sambil menari seperti penyanyi dangdut yang turut disertai dua individu lelaki.

Video berdurasi selama 29 saat itu dimuat naik di Facebook Amran Fans semalam, dengan kapsyen 'Bachok, USA' (bukan Kelantan) dan mendapat reaksi lebih 5,000 pelbagai tanda emoji dan hampir 500 perkongsian dengan tontonan lebih 500,000 kali.

Berdasarkan rakaman kejadian itu di program persembahan dikir barat yang diadakan di hadapan rumah penduduk, bagaimanapun persembahan itu diiringi muzik moden.

Hilmi yang juga Adun Guchil berkata dia menyedari mengenai perkara itu pagi tadi selepas menerima panggilan dan mesej orang ramai yang memohon penjelasan mengenai rakaman video berkenaan.

Menurutnya, video ini masih tular dan dia telah menelefon dan mengarahkan Yang Dipertua Majlis Daerah Bachok agar membuat siasatan segera berkait video yang sedang tular dan disyaki berlaku di Bachok.

"Hasil semakan segera didapati rakaman persembahan tersebut telah berlaku lebih setahun dahulu dan dimuat naik semula oleh Amran Fans yang mempunyai jumlah pengikut seramai 361,000 orang.

"Kebanyakan komen pembaca dalam posting tersebut menggambarkan bahawa hiburan tanpa permit tersebut baru berlaku semalam," katanya.

Tambahnya, penganjuran hiburan tersebut jelas bertentangan dengan Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat Hiburan Negeri Kelantan 1998 dan menyalahi Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003 dan pekeliling negeri Bil 4/2003 dan boleh dikenakan hukuman di bawah enakmen sama.

"Saya juga memohon kerjasama semua agar membuat laporan dan menyalurkan maklumat segera sam ada kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat mengenai penganjuran pesta-pesta hiburan yang dibuat secara haram tanpa lesen dan permit hiburan yang sah di Kelantan," kata Hilmi.