Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, menegaskan kenyataan kontroversi yang dibuatnya di Nenggiri beberapa hari lalu bukan bertujuan menghina institusi raja Melayu.
Dia juga menafikan kenyataan tersebut - yang setakat ini menyebabkan hampir 30 laporan polis dibuat setakat ini - mahu menghasut orang ramai.
Sebaliknya kata bekas perdana menteri terbabit, dia hanya menyatakan sesuatu yang bersifat fakta.
"Saya ingin menegaskan bahawa ucapan saya di Nenggiri adalah suatu kenyataan fakta yang tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut.
"Saya percaya kenyataan saya itu tidak melanggar mana-mana undang-undang negara," katanya.
Pada masa sama dalam kenyataan dikeluarkan petang ini, Muhyiddin juga memberi jaminan untuk bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa yang menyiasatnya.
Nama Muhyiddin menjadi perhatian ramai ekoran penzahiran kemurkaan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, awal hari ini.
Baginda merujuk kepada ucapan disebut Muhyiddin sewaktu dia berkempen untuk menghadapi PRK Nenggiri di Kelantan beberapa hari lalu.
Justeru Tengku Hassanal menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak tanpa sebarang kompromi ke atas bekas perdana menteri terbabit kerana dianggap memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Baginda mendakwa ahli parlimen Pagoh itu memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif untuk agar melihat Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih perdana menteri ke-10.
Petang ini Istana Pahang sendiri tampil membuat laporan polis terhadap Muhyiddin kerana mempertikai keputusan Agong dalam pelantikan perdana menteri selepas PRU ke-15 lalu.
Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah, berkata laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada malam tadi.
video Muhyiddin di Nenggiri: