Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Mayat budak 2 tahun ditemui dekat Kuala Kedah


Alor Setar: Seorang bapa tergamak 'membuang' anak lelakinya sendiri yang berusia dua tahun ke dalam longkang besar berdekatan Jalan Pegawai, di sini sebelum kanak-kanak itu ditemukan lemas di Pantai Leman, Kuala Kedah, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil siasatan polis mendapati, terdapat kesan kecederaan seperti dikelar di bahagian leher kanak-kanak lelaki warga Myanmar berusia dua tahun itu.


Mangsa dipercayai anak bongsu kepada lelaki warga Myanmar berusia 43 tahun yang ditahan polis di perkarangan Masjid Al Hidayah, Bukit Pinang, di sini yang disyaki membunuh isteri dan anak sulungnya berusia 10 tahun yang ditemui dalam longkang di belakang bangunan terbiar berhampiran Pekan Simpang Kuala, di sini, semalam.

"Berdasarkan keterangan saksi, ada yang mendakwa ternampak kelibat suspek bersama seorang anaknya berjalan di sekitar kawasan Jalan Pegawai itu.

"Namun anak bongsunya tidak kelihatan tetapi saksi mengatakan ketika itu terdengar bunyi seperti orang terjun pada hari kejadian," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Adzli berkata, hasil siasatan mendapati, pihaknya percaya kesemua mangsa yang ditemui meninggal dunia dipercayai dibunuh pada 18 Ogos lalu sebelum mayat ibu dan anak ditemui semalam.

Beliau berkata, suspek ditahan di Masjid Al Hidayah, Bukit Pinang itu ketika bersama anak lelakinya berusia lima tahun dan mereka dipercayai berjalan kaki sejauh kira-kira 17 kilometer dari Simpang Kuala Ke Bukit Pinang.

"Berdasarkan keterangan saksi, lima beranak itu termasuk suspek sebelum ini tinggal di bawah jambatan sebelum berpindah ke bangunan terbiar di lokasi dua beranak ditemui semalam.

"Hasil siasatan mendapati, suspek positif dadah jenis syabu, ganja dan morfin.

"Siasatan masih dilakukan untuk mengetahui punca kejadian berlaku dan kita tidak menolak berkemungkinan disebabkan keadaan daif mereka selain di bawah pengaruh dadah," katanya.

Adzli berkata, berkemungkinan kejadian pembunuhan itu dilakukan pada waktu malam.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebilah parang yang mempunyai kesan dan akan dihantar untuk dianalisa terlebih dahulu.

Media sebelum ini melaporkan, mayat seorang wanita dewasa berusia 34 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dipercayai ibu dan anak ditemukan dengan kecederaan pada tubuh ditemui dalam longkang di belakang sebuah bangunan terbiar berhampiran Pekan Simpang Kuala, di sini hari ini.

Mayat mereka ditemui berpakaian lengkap yang mana seorang daripada dalam keadaan tertiarap dan terlentang bersebelahan antara satu sama lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.