Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

KJ ramal BN menang di PRK Nenggiri (video)


Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) berkemampuan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (Dun) Nenggiri pada 17 Ogos nanti, kata Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin

Beliau berkata, antara sebabnya adalah pengaruh bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah cukup besar di kawasan itu, selain 13 peratus pengundi Nenggiri dalam kalangan Orang Asli.


"Saya difahamkan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Md Nor Orang Asli yang pertama dipilih menjadi ahli parlimen, sekarang ini Timbalan Speaker Dewan Rakyat ditugaskan berkampung di pos-pos Nenggiri.

"Ini supaya dapat menaikkan sokongan dalam kalangan Orang Asli terhadap calon BN," katanya menerusi podcast 'Keluar Sekejap' bersama bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan hari ini.

PRK Dun Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon BN dan Perikatan Nasional (PN).

Ia menyaksikan pertembungan membabitkan calon daripada BN yang juga Ketua Pemuda Umno negeri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sementara PN, Mohd Rizwadi Ismail daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dalam pilihan raya lalu, calon PN daripada Bersatu, Mohd Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab Aziz Yusoff.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, faktor kemenangan lain adalah disebabkan pengundi di Dun Nenggiri juga tidak akan terkeliru mengenai calon yang ditampilkan untuk bertanding di kawasan itu adalah daripada BN.

"Orang di Nenggiri ini dia tidak akan nampak bahawa ini Pakatan Harapan (PH). Dia tidak akan terkeliru. Sebab arahan daripada Ku Li (Tengku Razaleigh)," katanya.

Selain itu kata Khairy, dengan strategi digunakan BN mengatakan pentadbiran kerajaan Persekutuan daripada mereka kepada Orang Asli, ia akan menyebabkan pengundi berkenaan memberikan sokongan kepada gabungan itu kali ini.

Bagaimanapun katanya, sekiranya BN memenangi PRK Nenggiri, ia juga tidak boleh memberikan satu isyarat besar mengenai adanya perubahan pola pengundi Melayu yang kembali kepada mereka.

"Ini satu kawasan sahaja tetapi ia sudah pasti akan memberi sedikit berita gembira kepada BN sebab selama ini kecundang dalam beberapa PRK terutamanya bila cuba nak menawan kawasan yang kalah pada pilihan raya lepas," katanya.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu turut percaya jika BN memenangi PRK Nenggiri, ia juga akan menjadi 'bahan' semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang dijangka akan berlangsung pada 21 Ogos ini.

"Kemenangan di Nenggiri ini jika berlaku, akan digunakan sebagai tanda kebangkitan semula.

"Tanda kebangkitan semula sudah banyak, setiap bulan ada tanda kebangkitan semula tetapi ini tanda kebangkitan berdasarkan kepada kemenangan dalam pilihan raya," katanya.

video: