Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ku Li sahkan Kerajaan Kelantan dalang utama lengah pemberian geran kepada peneroka

Bekas Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bersama veteran Umno pada pertemuan di Jeram Tekoh

GUA MUSANG: Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa kelewatan pemberian geran tanah kepada peneroka, termasuk bawah seliaan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), bukan disebabkan kelemahan agensi itu.

Bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu sebaliknya berkata, tindakan kerajaan Kelantan yang menyebabkan urusan pengeluaran geran kepada peneroka tidak dapat diselesaikan.


Tengku Razaleigh, juga dikenali sebagai Ku Li berkata, agensi kerajaan persekutuan seperti Kesedar tidak boleh disalahkan berhubung kelewatan pemberian geran tanah peneroka kerana kuasanya bawah kerajaan negeri.

“Kita kerja siang malam hendak sampaikan tanah ini kepada rakyat, tetapi malangnya sampai sekarang, tidak boleh bagi geran kepada mereka walaupun sudah bayar premium kepada kerajaan negeri, miliki geran besar.

Kerajaan negeri berlengah-lengah, tidak mahu menyelesaikan (memecahkan) lot-lot supaya kita (boleh) bagi kepada peneroka, katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan veteran Umno di Jeram Tekoh.

Dalam pada itu, beliau menegaskan sekiranya Barisan Nasional (BN) dipilih menjadi kerajaan negeri, isu pemberian geran tanah ini dapat diselesaikan dalam tempoh setahun.

Selain itu, tanah Orang Asli turut akan diwartakan sebagai tanah adat, katanya.

Isu pemberian geran tanah ini mula menjadi polemik susulan dakwaan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pada ceramah kempen PRK Nenggiri awal bulan ini bahawa Kesedar tidak memproses ribuan lot tanah yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri.

Dakwaan ini disangkal oleh Pengerusi Kesedar Zawawi Othman yang menuntut Takiyuddin menarik balik kenyataannya, atau berdepan tindakan undang-undang.

Pada 9 Ogos, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Kesedar akan menyerahkan hak milik tanah seluas 7,000 hektar kepada peneroka dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai peluang calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang pada PRK Nenggiri, Ku Li berkata, beliau yakin anak buahnya mampu merampas kembali kerusi DUN Nenggiri.

“Calon (BN) sudah lalui proses pembelajaran … jadi tidak ada yang baharu mahupun asing baginya.

Saya berani kata, beliau akan jadi wakil rakyat yang baik, katanya.