MB Pahang gesa ambil tindakan segera ke atas Muhyiddin (video)
KENYATAAN RASMI MB PAHANG
Saya sungguh kecewa dan terkilan dengan ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berkempen di Pilihan Raya Kecil Nenggiri yang secara biadab menyentuh kewibawaan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah sewaktu baginda sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Sebagai mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin tidak sepatutnya mengheret institusi istana dalam kempen politiknya yang sempit semata-mata untuk meraih undi dan mengaburi rakyat tentang apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.
Saya yakin dan percaya, rakyat juga telah mengetahui dan bersetuju bagaimana kewibawaan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku berjaya menghentikan kemelut politik negara daripada terus berpanjangan dengan menubuhkan Kerajaan Perpaduan, di mana PAS dan Bersatu telah menolak titah Tuanku ini.
Oleh itu, saya meminta pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Tan Sri Muhyiddin yang secara sengaja mencetuskan suasana yang tidak harmoni dengan menyentuh isu 3R (Kaum, Agama, Institusi Diraja) dalam kempen politiknya, agar ia menjadi pengajaran dan peringatan kepada semua pihak.
Saya berharap rakyat di negara ini perlu terus menghormati institusi diraja yang merupakan lambang kedaulatan dan kestabilan negara serta simbol penyatuan dan pelindung rakyat jelata.
Menteri Besar Pahang
Naib Presiden UMNO
17 Ogos 2024
video: