Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Mohamad ke Brunei mempengerusikan EOL-25


PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengadakan lawatan kerja ke Brunei pada 11 dan 12 Ogos sempena Mesyuarat ke-25 Pelaksanaan Pertukaran Surat antara Malaysia dan Brunei (EOL-25).

EOL adalah dokumen yang ditandatangani oleh pemimpin kedua-dua negara pada 2009 yang menggariskan bidang keutamaan dalam hubungan dua hala.


Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat itu akan dipengerusikan bersama oleh Mohamad dan rakan sejawatannya dari Brunei, Datuk Seri Setia Erywan Mohd Yusof.

"Kedua-dua Menteri Luar dijangka memantau kemajuan kerjasama dua hala dan membincangkan hasil persetujuan yang telah dicapai oleh kedua-dua pemimpin semasa Perundingan Tahunan Pemimpin Ke-24 (ALC-24) tahun lalu.

"Hasil Mesyuarat EOL-25 ini juga akan dijadikan asas persediaan kepada ALC-25 yang dijadual penganjurannya pada 26 Ogos di Brunei," menurut kenyataan itu.

Semasa di Bandar Seri Begawan, Mohamad juga dijadual mengadakan kunjungan menghadap ke atas Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Tahun ini adalah ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brunei.

Hubungan antara kedua-dua negara ini istimewa dan erat, bertunjangkan institusi Kesultanan Melayu, persamaan warisan dan kebudayaan, serta hubungan kekeluargaan antara rakyat kedua-dua negara.

Menurut Kementerian Luar, kedua-dua Menteri Luar akan menghadiri majlis makan malam bagi meraikan ulang tahun itu.

Pada 2023, Brunei adalah rakan dagang keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai USD2.04 bilion (RM9.31 bilion).– BERNAMA