Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pendakwaan mohon Daim jalani pemeriksaan mental


KUALA LUMPUR: Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah memerintahkan bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin dihantar untuk menjalani pemeriksaan mental di hospital kerajaan.

Wan Shaharuddin membuat permohonan itu kepada Hakim Azura Alwi selepas meneliti laporan perubatan yang dikemukakan Peguam Nizamuddin Hamid yang mewakili Daim dan isterinya, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid.


Wan Shaharuddin berkata menurut laporan perubatan oleh pihak pembelaan yang disediakan oleh hospital Assunta, tertuduh disahkan mengalami beberapa serangan stroke (angin ahmar) sejak Januari 2024 dan keadaan itu telah menyebabkan dia jatuh sehingga mengalami beberapa keretakan tulang.

"Laporan pihak hospital swasta itu juga ada menyebut mengenai kecederaan otak yang dialami tertuduh. Jika dilihat keadaan tertuduh, perbicaraan nanti kemungkinan tertuduh tidak dapat hadir. Yang utama adalah kesihatan mental tertuduh," katanya.

Pemeriksaan tentukan sama ada Daim layak dibicarakan

Wan Shaharuddin menjelaskan Seksyen 342 kanun tata cara jenayah boleh digunakan untuk menilai sama ada Daim layak dibicarakan.

Nizamuddin bagaimanapun membantah permohonan pendakwaan itu kerana kes ini baharu di peringkat permohonan.

"Tertuduh berumur 86 tahun, isu kesihatannya adalah isu fizikal dan bukan isu mental.

Jika dirujuk pada laporan perubatan yang dikemukakan, kesan yang disebut adalah kesan fizikal dan bukan kesan pada tahap mental.

"Apabila pendakwaan membuat keputusan untuk mendakwa seorang yang berumur 86 tahun harus terima hakikat faktor kesihatan tertuduh," katanya.

Nizamuddin menjelaskan anak guamnya mampu untuk memahami pertuduhan yang hadapinya dan memahami proses yang sedang dilaluinya.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry berkata permohonan tersebut akan membantu mahkamah dan semua pihak termasuk pihak pembelaan untuk mengenal pasti tahap kesihatan mental tertuduh.

"Permohonan bukan bersifat menghukum sebaliknya untuk menentukan sama ada tertuduh layak untuk mengemukakan pembelaan dirinya.

"Permohonan ini adalah berasas, dan penting untuk mahkamah menilai tahap kesihatan mental tertuduh sebelum perbicaraan bermula," katanya.

Azura menetapkan 17 Oktober depan keputusan permohonan itu.

Mahkamah tolak permohonan Daim tukar hakim

Terdahulu, Mahkamah Sesyen hari ini menolak permohonan Daim untuk kes gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah yang dihadapinya, didengar hakim Mahkamah Sesyen lain.

Azura memutuskan perkara itu selepas mendapati pihak pemohon gagal membuktikan kemungkinan berlaku berat sebelah dalam perbicaraan tersebut.

"Tiada asas menunjukkan fakta pemohon dan isteri dituduh di mahkamah sama akan menjejaskan objektiviti.

"Mahkamah percaya mahkamah ini mampu dan berkeupayaan mempertimbangkan dengan profesional," katanya membacakan alasan keputusannya.

Nizamuddin tidak membantah keputusan itu.

Pada 29 Januari lalu, Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, 86, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Isterinya Na'imah, 66, pula didakwa pada 23 Januari lepas atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.