Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Polis cari Azman, siasat kes kehilangan tiga nyawa dalam kebakaran


MUAR - Polis giat mengesan anak kepada pasangan warga emas yang rentung dalam kebakaran di Kampung Paya Redan, Pagoh, di sini, awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhlis Azman Aziz berkata, individu bernama Azman Mohamed, 48, dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.


“Azman yang merupakan anak pasangan warga emas berkenaan dan tinggal di kediaman tersebut dikehendaki berikutan dia merupakan saksi utama dalam kes ini.

“Polis menggesa agar Azman Mohamed tampil kepada kami untuk memberikan keterangan.

"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, tiga sekeluarga maut apabila rumah didiami mereka musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Sekolah, Kampung Paya Redan, Pagoh di sini awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, sepasang suami isteri warga emas dan cucu perempuan mereka maut manakala seorang lagi cucu cedera.

Mangsa yang maut di lokasi kejadian ialah Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76.

Seorang lagi kanak-kanak iaitu cucu kepada pasangan berkenaan, Noradriana Nor Hisyam, 11, dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Sementara, seorang lagi penghuni yang juga cucu mangsa, Norazima Mohd Radhi, 14, dilaporkan cedera di kepala dan masih dirawat di HPSF.

Kami guna alat pemadam api, tapi api marak cepat’ – Jiran 

Jiran kepada tiga mangsa yang rentung dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh, di sini awal pagi tadi terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan mangsa yang terkorban dalam kejadian itu.

Seorang penduduk, Ghazali Abd Rahman, 53 berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah tidak jauh dari lokasi kejadian menerima panggilan daripada anaknya yang kebetulan keluar untuk makan di kedai makan berhampiran.

“Lebih kurang 1.30 pagi, saya dapat panggilan daripada anak lelaki yang baru sahaja keluar dari rumah nak pergi makan. Dia maklumkan kepada saya rumah sebelah ini terbakar.

“Saya pun bergegas keluar capai pemadam api. Sampai di lokasi memang api dah marak sangat jadi usaha nak memadam kebakaran pun sukar. Saya dan jiran tetangga lain cuba dekati rumah tersebut sebab nak pastikan kalau ada mangsa yang minta tolong.

“Rupanya saya dapati seorang kanak-kanak (Noradriana Nor Hisyam, 11) ditarik keluar, tapi keadaannya agak parah. Kakak mangsa (Norazima Mohd Radhi, 14) berjaya menyelamatkan diri dan meminta bantuan jiran tetangga yang mulai ramai di lokasi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut Ghazali, penduduk kampung kemudian menemui dua jasad berdekatan di dalam sebuah bilik yang meninggal dunia akibat rentung.

“Kami tak mampu nak selamatkan mangsa yang terperangkap. Memang terkilan sebab tak sangka ada orang dalam kediaman ini, memang kami agak rapat juga sebab dah lama tinggal di sini” katanya.