KUANTAN - Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) Kebangsaan mengingatkan semua pemimpin parti agar tidak menyentuh aspek agama, kaum dan raja (3R) dalam berpolitik.
Pengerusinya, Aidid Fadhullah Abdul Sukor berkata, isu 3R termasuk Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak sepatutnya dipolitikkan kerana ia boleh mendatang kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, disebabkan itu, hampir 300 mahasiswa dan anak muda tampil berhimpun dan bersoladiriti bagi membantah perbuatan sedemikian.
"Kita perlu beritahu dan memberi signal kepada mereka (pemimpin), (kalau) hendak berpolitik berpada-pada.
"Anak muda di sini, kita ada pendirian dan isu 3R tidak perlu disentuh," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas himpunan "Solidariti Raja dan Rakyat Berpisah Tiada" yang diadakan di Masjid Sultan Ahmad 1, Kuantan, pada Rabu.
Perhimpunan tersebut disertai mahasiswa itu berarak di sepanjang jalan sekitar Masjid Negeri sebagai tanda sokongan kepada Al-Sultan Abdullah.
Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, didakwa menyentuh isu 3R semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini.
Dalam satu rakaman yang tular di media sosial, bekas Perdana Menteri itu didakwa telah menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah.
Perkara ini telah menimbulkan kemurkaan Tengku Mahkota Pahang.
Pada Rabu, pihak polis telah merakam keterangan Muhyiddin di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) selepas menerima kira-kira 30 laporan polis yang dibuat terhadapnya berkaitan ucapan semasa PRK Nenggiri tersebut.
Aidid Fadhullah turut menekankan bahawa tindakan tegas harus dikenakan terhadap mana-mana pemimpin yang menyentuh isu 3R, tanpa mengira latar belakang politik mereka.
"Semua yang melakukan kesalahan atau menyentuh isu 3R harus dihukum dengan adil, tanpa mengira parti mana yang mereka wakili," katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa dua laporan polis telah dibuat oleh MAMPAN berhubung isu 3R di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.