Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tiga anggota polis ditahan, rompak sebuah rumah dekat Semenyih


KAJANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihaknya menahan tiga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berhubung kes rompakan di sebuah rumah di Jalan Sungai Pening, Kampung Pasir Semenyih, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima satu maklumat berhubung kes samun tersebut pada Rabu, jam 12.17 malam.


Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah melakukan tangkapan ke atas dua suspek lelaki di Batalion 19, PGA Cheras, dekat sini pada Khamis jam 12.20 malam.

Suspek juga turut melepaskan beberapa das tembakan amaran. 

Akibat daripada kejadian ini, mangsa yang berbangsa Myanmar telah mengalami kerugian sebanyak lebih kurang RM30,000 secara tunai dan 2 gelang emas dengan nilai anggaran semasa lebih kurang RM5,000. 

Jumlah anggaran kerugian yang dialami mangsa adalah sebanyak RM35,000.

Kata beliau, kedua-dua suspek yang ditahan merupakan warga tempatan berusia 32 hingga 35 tahun.

"Sementara itu, seorang lagi suspek lelaki warga tempatan berusia lingkungan 24 tahun telah serah diri pada hari ini (Khamis) jam 1.00 petang di IPD Kajang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, dua orang suspek direman bermula Khamis sehingga Rabu ini, manakala seorang lagi akan dibuat permohonan reman pada Jumaat untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (penalti lebih berat).

Tegas beliau, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati.

Katanya, pihak polis tidak akan melindungi mana-mana pegawai kanan polis mahupun pegawai rendah polis yang didapati terlibat dalam kesalahan jenayah.

"Siasatan akan dijalankan sepenuhnya mengikut jenayah yang dilakukan tanpa kompromi," ujarnya.

Sinar Harian