Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Wanita Malaysia saman FBI, Kedutaan AS, dakwa ditipu Elon Musk sebanyak RM10,000

 

Seorang wanita warga emas telah membawa kesnya ke mahkamah  selepas didakwa ditipu oleh satu skim pelaburan yang didakwanya dipromosikan oleh seorang pengguna Facebook yang menyamar sebagai lelaki terkaya di dunia, Elon Musk.

Menurut laporan Scoop, suri rumah berusia 62 tahun itu telah memfailkan kesnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui saman pemula, di mana dia mendakwa telah didekati oleh lapan akaun Facebook yang menggunakan nama Elon Musk dan Elon Reeves Musk.


Dalam samannya, wanita itu mendakwa dia telah dipujuk untuk melabur dalam Tesla atau platform pelaburan lain yang disyorkan oleh seorang individu bernama Ivan Pacheco, yang mendakwa dirinya sebagai pengurus pelaburan Elon Musk.

Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa pada 13 Januari, wanita itu telah melabur AS$250 (kira-kira RM1,129) dengan individu yang menyamar sebagai Elon Musk dan AS$50 (kira-kira RM225) dengan Ivan Pacheco.

Wanita tersebut membuat pelaburan itu selepas dijanjikan keuntungan sebanyak AS$14,100 (kira-kira RM63,700), yang kemudiannya akan dipindahkan ke akaun Maybanknya melalui dua bank yang berpangkalan di AS, Wells Fargo dan Bank of America.

Bagaimanapun tiada satu pun keuntungan yang dijanjikan itu dikreditkan ke dalam akaunnya.

Tidak lama selepas itu, wanita tersebut dihubungi oleh satu akaun Facebook yang menggunakan nama ibu Elon, Maye Musk, di mana dia dijanjikan hadiah mewah sebanyak AS$10,000,000 dan beberapa kenderaan Tesla.

Bagi mengetahui lebih lanjut tentang situasinya, wanita tersebut telah mendapatkan bantuan daripada sebuah firma guaman yang berpangkalan di Hong Kong, Robertsons, yang memberitahunya bahawa akaun-akaun Facebook tersebut dikendalikan oleh scammer di Myanmar.

Menurut satu eksibit yang dilampirkan kepada afidavitnya, wanita tersebut mendakwa bahawa RM10,000 telah ditipu daripadanya.

Wanita itu kemudiannya memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tanpa diwakili peguam, dengan menyatakan bahawa dia terlalu miskin dan kini menerima bantuan kewangan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Dalam saman tersebut, dia menamakan “Federal Bureau of Investigation (FBI) – Kedutaan AS di Kuala Lumpur”, jabatan siasatan jenayah komersial polis dan bahagian anti-pengubahan wang haram sebagai defendan.

Selain daripada saman tersebut, wanita itu juga memohon perintah mahkamah yang mengarahkan FBI untuk menyiasat keuntungan yang dijanjikan tetapi tidak pernah dimasukkan ke dalam akaunnya.

Tambahan lagi, dia juga mahu satu keputusan yang akan mengarahkan FBI untuk memberikannya kemas kini mengenai siasatan mereka.