KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf atas kekhilafannya ketika berpidato pada Himpunan Pembebasan Palestin yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.
"Saya hadir (malam tadi) bersama ribuan rakyat Malaysia bagi memberi dukungan dan tanda solidariti kita untuk pembebasan Palestin.
"Dalam keghairahan dan rasa penuh semangat tadi, saya memohon maaf atas kekhilafan saya dalam berbicara.
"Namun hati yang tulus ikhlas ini tetap membara untuk melaungkan Bebas Palestin! Hidup Palestin! Merdeka Palestin," kata Presiden UMNO itu dalam hantaran di Facebooknya.
Berdasarkan berapa klip video tular di media sosial, Ahmad Zahid dilihat tersasul melaungkan 'hidup Israel' ketika berpidato.
Sementara itu Ahmad Zahid berkata perhimpunan itu bukan sahaja isyarat rasa cinta terhadap keamanan, kedamaian dan menolak sekeras-kerasnya penindasan serta kezaliman manusiawi, malah bagi memperingati pemimpin tertinggi Hamas, As-Syahid Al Mujahid Ismail Haniyeh yang dibunuh dengan kejam.
"Namun walau seorang Ismail Haniyeh gugur, ribuan mujahid lagi akan dilahirkan," katanya.
Himpunan Pembebasan Palestin semalam dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama jemaah Kabinet, perwakilan asing dan lebih 15,000 rakyat Malaysia serta warga asing bagi menyatakan sokongan dan solidariti kepada perjuangan serta pembebasan Palestin daripada kekejaman rejim Israel.
Perhimpunan itu juga sebagai penegasan bahawa Malaysia mengecam keras pembunuhan Ismail Haniyeh pada 31 Julai lepas.
-- BERNAMA
video: